PORT DICKSON: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, membenarkan wanita yang dituduh membunuh bayinya sendiri pada bulan lalu dirujuk ke Hospital Permai di Tampoi, Johor bagi penilaian kesihatan mental selama sebulan.
Majistret, Hairun Najmi Mashahadi membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam, Ahmad Lokman Abdul Aziz yang mewakili wanita itu, Nurul Ain Haslan, 19, agar tertuduh menjalani pemeriksaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.
Ahmad Lokman yang melakukan khidmat guaman secara pro bono memohon Nurul Ain dihantar ke hospital mental atas alasan berdasarkan pertuduhan, perbuatan dibuat sejurus selepas bayi dilahirkan.
“Tertuduh perlu diberi peluang untuk penilaian keadaan mental, mangsa adalah anaknya sendiri, tertuduh adalah ibu kepada mangsa. Kesihatan mental (ibu) subjek di sini.
“Antaranya (penilaian) post natal depression (kemurungan selepas bersalin) atau postpartum psychosis (gangguan mental selepas bersalin) sebelum boleh dibicarakan bagi pertuduhan yang melibatkan elemen niat,” katanya.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali memaklumkan mahkamah laporan bedah siasat masih belum diterima dan memohon satu tarikh sebutan semula.
Bagaimanapun, Ahmad Lokman membuat permohonan agar salah seorang tertuduh dihantar ke hospital mental bagi mendapatkan penilaian sewajarnya berkenaan keadaan kesihatan mental secara khusus.
Pihak pendakwaan kemudiannya menyatakan tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap permohonan tersebut.
Mahkamah pada masa sama turut menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 27 Mac ini.
Pada 31 Januari lalu, Nurul Ain dan kekasihnya Muhammad Emer Irfan Hasren, 21, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan membunuh seorang bayi perempuan di Telok Kemang, Port Dickson pada 21 Januari lalu.
Berdasarkan pertuduhan, kedua-duanya dengan niat bersama telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap seorang bayi perempuan.
Perbuatan itu dilakukan antara pukul 5.30 pagi sehingga pukul 4 petang di sebuah rumah di taman perempuan kawasan Telok Kemang, Port Dickson pada 21 Januari lalu.
Oleh itu, kedua-duanya telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara tidak kurang dari 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta minimum 12 kali sebatan.
Pada 22 Januari lalu, media melaporkan sepasang kekasih masing-masing berusia 18 tahun dan 21 tahun ditangkap polis di dua lokasi berasingan di daerah ini selepas dipercayai menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian kepada bayi tersebut. – UTUSAN