Mahfuz minta petani tingkatkan hasil padi berbanding ‘kejar’ harga tinggi 

Mahfuz minta petani tingkatkan hasil padi berbanding ‘kejar’ harga tinggi 

MAHFUZ OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Para pesawah diminta untuk menukar pemikiran daripada terlalu ‘mengejar’ harga belian padi yang tinggi kepada usaha untuk meningkatkan hasil yang lebih banyak sebagai langkah menambah pendapatan. 

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar berkata, ketika ini kebanyakan petani hanya dapat menghasilkan kira-kira empat tan padi sehektar.

“Ada pula cuma hasilkan dua tan padi saja sebab mereka kejar harga. Apabila kilang beli harga RM1,800, mereka kata tak buat sungguh-sungguh pun tak apa kerana harganya tinggi sedangkan jumlah itu tak berbaloi untuk sehektar sawah, ada orang lain dapat hasilkan antara tujuh hingga 12 tan. 

“Jadi pemikiran sebegini perlu diubah petani. Mereka jangan hanya kejar harga sebaliknya kena kejar hasil kerana lebih banyak hasil, lagi banyaklah pendapatan diperoleh,” katanya selepas Program Kembali Ke Sekolah di sini, hari ini.

Diminta mengulas desakan pesawah agar harga belian padi dinaikkan, Mahfuz berkata, ketika ini banyak pihak terkeliru apabila mendakwa kerajaan menurunkan harga belian padi hingga memberi kesan kepada pesawah. 

“Hakikatnya, kerajaan tidak pernah turunkan harga padi sebaliknya telah menetapkan harga lantai lebih tinggi daripada RM1,200 kepada RM1,300 sekarang, yang beli sampai RM1,800 sebelum ini adalah pihak kilang. 

“Tetapi dalam menentukan kenaikan harga lantai ini, banyak pertimbangan perlu dibuat dengan situasi menang-menang melibatkan pesawah, pengguna, pengilang dan peruncit. Pertimbangan inilah yang sedang dibuat kerajaan dan kita tak boleh nak lakukan peningkatan harga belian padi,” katanya.

Katanya, secara peribadi beliau lebih suka sekiranya penetapan harga belian padi dibuat mengikut perkembangan harga beras dunia yang mungkin lebih mudah, namun kerajaan perlu mencari kaedah untuk tidak membebankan masyarakat.

Dalam perkembangan lain, Mahfuz yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara berkata, pihaknya akan berbincang dengan peguam berhubung dakwaan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor kononnya Amanah yang menjadi komponen Pakatan Harapan (PH) dilahirkan DAP.

“Amanah tak pernah ditubuhkan pihak lain. Dulu mereka kata Amanah ditubuhkan pemimpin PKR, Rafizi Ramli sedangkan Amanah sebenarnya ditubuhkan oleh bekas ahli Pas yang tak boleh terima pendekatan Pas iaitu bersifat ekstrem dan membawa doktrin khawarij. 

“Doktrin sedemikian membawa kepada permusuhan dan perbalahan dalam masyarakat sesama Islam serta pelbagai kaum. Ternyata apa yang dilakukan itu sampai ke hari ini, tak pernah berubah,” katanya. 

Dalam ceramah Majlis Himpunan Ummah Selamatkan Malaysia 1.0 di Kompleks Pas Kedah malam tadi, Muhammad Sanusi mendakwa Amanah merupakan sebuah parti yang dilahirkan DAP setelah sekian lama cuba untuk memecahkan Pas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya