Madrasah, pusat tahfiz diseru tubuhkan Skuad Bomba Tahfiz - Utusan Malaysia

Madrasah, pusat tahfiz diseru tubuhkan Skuad Bomba Tahfiz

AHLI Skuad Bomba Tahfiz dan penghuni madrasah diberi pendedahan teknik memadam kebakaran pada Program Hari Terbuka Madrasah Az-Zaakiriin dan Hari Keselamatan Kebakaran Skuad Bomba Daerah Rembau hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Pusat tahfiz dan madrasah di Negeri Sembilan diseru untuk menubuhkan Skuad Bomba Tahfiz sebagai langkah awal persediaan memadam kebakaran sekiranya berlaku di premis masing-masing.

Ketua Zon 2, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohammad Idris berkata, Skuad Bomba Tahfiz merupakan satu bentuk transformasi jabatan bagi bertindak sebagai ejen menyampaikan mesej dan maklumat berhubung aspek pencegahan dan keselamatan kebakaran kepada komuniti sekolah.

Menurut beliau, pihak pengurusan, guru-guru dan pelajar akan bertindak sebagai first responder untuk menangani insiden kecemasan atau kebakaran di peringkat awal.

“Seperti hari ini, kita adakan ceramah berkaitan keselamatan kebakaran, menyelamatkan mangsa dan seterusnya kita sampaikan teknik padam kebakaran. Kita dedahkan juga peranan Skuad Bomba Tahfiz, apa tindakan awal yang perlu mereka buat sebelum pasukan bomba sampai.

“Hari ini juga terdapat tujuh madrasah di daerah ini yang akan diberikan sijil bagi penubuhan Skuad Bomba Tahfiz. Skuad ini adalah sebagai ejen kecil bagi menyampaikan mesej dan maklumat berhubung aspek pencegahan dan keselamatan kebakaran kepada komuniti di pusat tahfiz, tidak kira institusi awam atau swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Hari Terbuka Madrasah Az-Zaakiriin dan Hari Keselamatan Kebakaran Skuad Bomba Daerah Rembau di sini hari ini. Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Suhaimi Aini.

Sebagai rekod terdapat 53 Skuad Bomba Tahfiz di negeri ini membabitkan 404 ahli yang berumur 15 tahun ke atas sejak ia dilancarkan pada 2017.

Ujar Mohammad lagi, skuad tahfiz berkenaan akan mengikuti modul khas terbabit selama lapan jam termasuk teori dan praktikal yang dilaksanakan oleh peringkat balai bomba serta akan menerima sijil pendaftaran dan keahlian selepas berjaya menamatkan modul. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya