KUALA LUMPUR: El Madkhal Sdn Bhd telah melancarkan aplikasi Madkhal untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat Islam mengenai khazanah ilmu dan tradisi Islam.
Pengasasnya, Aminuddin Abu Bakar berkata, aplikasi Madkhal yang dibangunkan sejak Ogos tahun lalu bertujuan untuk memperkukuhkan penghargaan terhadap golongan ilmuwan dan asatizah tempatan di Nusantara.
“Madkhal memberikan akses serta panduan mengenai ilmu agama Islam untuk seluruh masyarakat Islam. Kandungan dalam aplikasi ini, termasuk video, dibangunkan oleh sarjana Islam, ilmuwan, dan asatizah tempatan.
“Madkhal adalah aplikasi digital yang menyediakan video-video berkaitan ilmu agama Islam yang disusun secara teratur. Ia disampaikan oleh ilmuwan Islam berkelayakan dan dipantau oleh panel penasihat ternama di negara ini, termasuk Sahibus Samahah Datuk Setia Prof Madya Dr Anhar Opir, Mufti Negeri Selangor, serta Datuk Dr Mohamad Sabri Haron, Mufti Negeri Terengganu,” ujarnya.
Aplikasi tersebut telah dilancarkan pada 5 Februari lalu di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan, dengan kehadiran Mohamad Sabri Haron dan Naib Canselor USIM Prof Datuk Ts Dr Sharifuddin Md Shaarani.
Pelancaran ini bertepatan dengan sambutan Forum Perdana Israk Mikraj.
Penasihat Madkhal, Mohamad Sabri menjelaskan, aplikasi tersebut dibangunkan untuk memperkaya pengetahuan Islam dan mengangkat martabat ulama Malaysia. Beliau menyatakan bahawa program Madkhal adalah platform penting untuk memperkukuhkan ilmu Islam secara menyeluruh dan komprehensif.
“Sambutan yang menggalakkan daripada pengguna aplikasi ini menjadikan kami berhasrat untuk memperluaskan penggunaannya ke negara-negara Asia Tenggara seperti Indonesia, Singapura, Brunei, dan Thailand.
“Kami juga berusaha untuk menyediakan terjemahan dalam bahasa Inggeris, Arab, dan bahasa-bahasa lain agar aplikasi ini dapat berkembang. Sasaran umur dari 15 tahun ke atas,” tambahnya.
Aminuddin menambah, Madkhal merupakan usaha sama antara pasukan Madkhal, rakan kongsi, asatizah Malaysia, dan rakan strategik media untuk menyediakan platform yang menyajikan ilmu-ilmu kerohanian seperti Fardu Ain, Syariah, Sirah, al-Quran, Akidah, dan Hadis.
“Setakat ini, terdapat 20 asatizah yang secara langsung berkongsi ilmu dan panduan yang bermanfaat kepada pengguna aplikasi ini.
“Pada tahun ini, kami menyasarkan 30,000 pengguna dengan kandungan yang menarik, dan modul baharu akan ditambah setiap bulan. Untuk meningkatkan kefahaman, sarikata dalam Bahasa Inggeris juga disediakan, menjadikan aplikasi ini lebih mesra pengguna bukan hanya kepada bangsa Melayu tetapi juga kepada pelbagai bangsa,” katanya.
Aminuddin juga positif walaupun berdepan cabaran dalam menyalurkan ilmu melalui aplikasi ini.
“Madkhal menawarkan jadual pembelajaran yang fleksibel dari ilmuwan berkelayakan mengenai topik-topik komprehensif yang sesuai untuk semua peringkat umur. Pengguna dapat mengakses pembelajaran ini dengan mudah hanya dengan memuat turun aplikasi Madkhal di Google Store atau App Store pada peranti mudah alih mereka.
“Diharapkan aplikasi ini dapat menjadi panduan serta gerbang ilmu yang mendidik masyarakat Malaysia, khususnya dalam menuju ke arah yang lebih baik. Untuk maklumat lanjut, layari madkhal.app.
“Aplikasi ini telah tersedia di Google Store dan App Store sejak Ogos tahun lalu, dan kini berjaya menarik seramai 6,000 pengguna aktif,” kongsinya.-UTUSAN