PETALING JAYA: Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) bagi jajaran Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang bakal bermula operasi pada 30 September depan selepas projek itu diserahkan sepenuhnya kepada Prasarana Malaysia Bhd oleh kontraktor utama pada 31 Julai ini.
Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata, kini kemajuan keseluruhan projek itu mencapai 98.16 peratus.
Katanya, ujian pengoperasian tren tanpa penumpang akan dilakukan dalam dua peringkat bagi memastikan perkhidmatan LRT3 selamat untuk pengguna.
“Dua ujian ini yang merangkumi pematuhan, ketahanan serta keselamatan sistem kereta api dan prosedur operasi standard (SOP) membabitkan ‘Trial Run’ (TR) yang akan dijalankan serentak dengan ujian ‘Fault Free Run’ (FFR) oleh pihak kontraktor utama, Setia Utama LRT3 Sdn Bhd.
“Anggaran tempoh pengujian adalah 75 hari. Keputusan ujian FFR ini akan dinilai pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berdasarkan aspek keselamatan, pematuhan standard dan jaminan sistem kereta api tertentu,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Kenyataan itu menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai status terkini projek LRT3, tempoh pelaksanaan ‘trial run’ tanpa penumpang serta sasaran pembukaan operasi sepenuhnya menjelang suku ketiga tahun 2025.
Menurut MOT, ujian TR dan FFR dijangka bermula pada pertengahan April depan dan selesai pada akhir Jun.
“Selepas itu, ujian operasi atau “Trial Operation” (TO) akan dijalankan oleh Rapid Rail Sdn. Bhd. sebagai pengendali berlesen kereta api dengan bantuan teknikal daripada kontraktor utama sebaik ujian TR dan FFR selesai serta mendapat kelulusan APAD.
“Anggaran tempoh pengujian ini adalah selama 60 hari. Ujian TO ini dijangka bermula pada Julai depan dan selesai pada akhir Ogos,” katanya. – UTUSAN