MELAKA: Tiga buah lori dikesan menggunakan tayar haus atau botak yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya ketika Op Khas Gempur Teknikal 2025 yang menyaksikan sebanyak 292 saman dikeluarkan dalam operasi serentak di tiga plaza tol utama di Melaka, semalam.
Dalam operasi menyeluruh di Plaza Tol Alor Gajah, Plaza Tol Ayer Keroh, dan Plaza Tol Jasin, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan ke atas lapan kesalahan di bawah Seksyen 82 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.
Dalam operasi bersepadu itu, sebanyak 643 kenderaan terdiri daripada kenderaan persendirian dan barangan diperiksa dengan 102 kenderaan dikenal pasti melakukan pelbagai kesalahan.
JPJ Melaka memaklumkan, kesalahan paling tinggi direkodkan membabitkan notis JPJ (P) 22 dengan 206 notis dikeluarkan atas kesalahan seperti Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh dan pelbagai isu teknikal.
“Sebanyak 50 notis PG1 dikeluarkan sebagai larangan penggunaan kenderaan, sementara 53 notis arah pemeriksaan kenderaan dikeluarkan mengikut Seksyen 61 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Operasi itu melibatkan seramai 46 anggota penguat kuasa JPJ, Unit Peronda Lebuhraya JPJ (UPLR) serta PLUS Malaysia Berhad yang berakhir sekitar pukul 1 tengah hari. – UTUSAN