Longgar syarat masuk jejas kualiti pendidikan kejururawatan - Utusan Malaysia

Longgar syarat masuk jejas kualiti pendidikan kejururawatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarat kemasukan ke program Diploma Kejururawatan bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dilonggarkan kepada hanya tiga kredit dilihat akan menjejaskan kualiti pendidikan kejururawatan.

Jurucakap Persatuan Jururawat Lelaki Malaysia berkata, penurunan syarat kemasukan boleh menyebabkan penerimaan ramai pelajar yang kurang berkemampuan akademik sehingga berpotensi menjejaskan kualiti graduan.

Katanya lagi, kelonggaran ini juga akan memberi kesan kepada profesionalisme jururawat yang berperanan sebagai barisan hadapan dalam penjagaan kesihatan.

“Langkah melonggarkan syarat masuk ini hanya sebagai penyelesaian sementara namun kerajaan perlu merancang strategi jangka panjang.

“Ia bagi mengatasi kekura­ngan jururawat bagi meningkatkan pengiktirafan terhadap profesion ini serta menawarkan insentif bagi menarik lebih ramai pelajar yang berkelayakan.

“Pihak kami berharap agar standard pendidikan kejururawatan tidak dikompromi meskipun syarat kemasukan dilonggarkan. Ini penting untuk memastikan jururawat yang dilatih mempunyai kemahiran, pengetahuan dan etika kerja yang tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam akhbar ini melaporkan, syarat kemasukan ke program Diploma Kejururawatan bagi lepasan SPM dilonggarkan kepada hanya tiga kredit iaitu mata pelajaran Bahasa Melayu, Matematik dan Sains berban­ding syarat sebelum ini iaitu lima kredit termasuk Bahasa Inggeris.

Kelonggaran tersebut kerana negara kini menghadapi isu kekurangan jururawat yang semakin meruncing dalam memenuhi keperluan penjagaan kesihatan yang sekiranya tidak dibendung akan memberi impak dan menjejaskan kepada kesejahteraan negara.

Perkara itu telah dibentangkan dalam mesyuarat Lembaga Jururawat Malaysia (LJM) pada 28 November 2024 dan dipersetujui untuk melonggarkan syarat kemasukan program Dip­loma Kejururawatan bagi pelajar lepasan SPM dari lima kepada tiga kredit.

Presiden Kesatuan Jururawat Malaya (MNU), Saaidah Athman pula berkata, kelonggaran syarat ini tidak wajar dilakukan serta tidak mampu untuk me­ngurangkan waktu kerja 45 jam seminggu selagi kekurangan jururawat berterusan.

Sebaliknya beliau berkata, fokus utama adalah perlu memperkukuhkan lagi profesion kejururawatan dengan menaik taraf skim kepada pemegang ijazah sekali gus meningkatkan standard dan pengiktirafan jururawat di negara ini.

“Sistem yang perlu diubah, bukannya syarat kelayakan. Sebagai contoh, ujian psikomotor secara dalam talian boleh dipermudahkan kerana kegagalan dalam ujian ini boleh menyebabkan nama calon digugurkan walaupun mereka sebenarnya layak.

“Kelonggaran syarat ini ha­nyalah penambahbaikan sementara. Ini kerana hasilnya masih belum pasti dari segi kualiti, sedangkan tugas seorang jururawat memerlukan pemikiran kritikal, pemahaman mendalam tentang proses penyakit serta pemerhatian yang teliti bagi menilai keberkesanan sesuatu rawatan, katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya