MELAKA: Seorang lelaki nekad melompat keluar daripada lori dipandunya selepas terlibat dalam insiden kejar-mengejar dengan anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejauh 25 kilometer (KM) di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) di sini, petang tadi.
Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, lori dipandu lelaki berusia 27 tahun itu dikesan di Lebuh SPA kira-kira pukul 4.30 petang dan diekori sejauh 25 KM iaitu selama satu jam.
Katanya, anggota penguat kuasa telah mengarahkan pemandu itu memberhentikan kendaraan tetapi gagal.
“Lelaki itu kemudian nekad melompat keluar menyebabkan lori lima tan yang membawa muatan barang pembinaan hilang kawalan sebelum merempuh sebuah rumah di Taman Krubong Jaya.
“Rempuhan tersebut menyebabkan pagar, tembok rumah dan sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton rosak.
“Penduduk setempat membantu menahan pemandu lori dan satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Durian Tunggal,” katanya.
Tambah Muhammad Firdaus, lima notis saman baharu dikeluarkan terhadap pemandu lori terlibat atas pelbagai kesalahan seperti tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL), tidak mematuhi lampu isyarat merah serta memandu secara cuai.
“Semakan lanjut mendapati lori berkenaan mempunyai lapan saman lampau yang telah diselesaikan. JPJ Melaka menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
“Pemandu dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang dan mengelakkan tindakan berbahaya di jalan raya,” ujarnya. – UTUSAN