‘Logik ke beri diskaun hingga RM15’ - Utusan Malaysia

‘Logik ke beri diskaun hingga RM15’

hamzah
HAMZAH ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembangkang mendakwa terdapat pasar raya yang menjual beras import memberi diskaun sehingga RM15, sekali gus membuktikkan kewujudan kartel yang menyorokkan bekalan makanan ruji tersebut.

Ketuanya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata beliau dan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, melakukan tinjauan di sebuah pasar raya di Setapak yang tidak menjual beras putih tempatan, sebaliknya hanya menjual beras import.

“Yang dijual hanyalah beras import, harga jualan RM48 untuk 10 kilogram (kg) diberikan diskaun sebanyak RM15, menjadikan harga beras itu hanya RM33. Sebanyak RM15 turun, maknanya dari RM4.80 boleh dijual pula kepada RM3.30 untuk satu KG.

“Cuba kita fikirkan, logik ke jika orang boleh buat diskaun sebanyak RM15? Ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena, dan boleh disimpulkan bahawa kartel mungkin terlibat dalam penyorokan bekalan beras tempatan,” katanya dalam satu sidang akhbar di Pusat Media, Bangunan Parlimen, hari ini.

Hamzah turut mempersoalkan kenyataan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, yang mengumumkan pengeluaran 24 juta kampit beras dalam tempoh enam bulan. 

“Untuk enam bulan, 24 juta kampit bersamaan dengan 240,000 metrik tan sahaja sedangkan beras dikeluarkan petani atau pesawah adalah sebanyak 1.6 juta metrik tan setiap tahun. Kalau hanya 240,000 metrik tan dan darab dengan dua, baru 480,000 metrik tan.

“Kalau 480,000 metrik tan tetapi yang kita keluarkan adalah 1.6 juta tan metrik. Mana pergi selebihnya? Kalau kau hanya memberi jaminan 24 juta kampit sahaja.

“Kalau hilang, ke mana perginya? Siapa yang keluarkan? Siapa sorok? Kan kita ada akta, jadi gunakanlah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN