Liza Aziz lunas impian setelah lebih empat dekad - Utusan Malaysia

Liza Aziz lunas impian setelah lebih empat dekad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PROGRAM pertandingan nyanyian Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11) terbitan Astro bakal melabuhkan tirainya malam ini. Jutaan rakyat Malaysia bakal menyaksikan seorang lagi juara dimahkotakan. 

Debaran enam peserta; Dadali Dyrga, The Lima, Liza Aziz, Sheila Abdull, Ning Baizura dan Zehra Zambri pastinya semakin kencang saat ini.  Hasil keringat dan usaha mereka selama 12 minggu bakal ditentukan. 

Antara enam calon juara GV11 ini, Liza yang paling berpengalaman. Kalau ditolak tambah, perjalanan seninya sudah memasuki 45 tahun, bersamaan usia Menara DBKl 1 yang tersergam indah di tengah kota metropolitan.

Lebih empat dekad anak jati Kuala Lumpur ini menjadi anak seni, tak salah kalau dia dianggap antara penyanyi berkebolehan tinggi yang Malaysia miliki. 

Namun, hakikatnya juga, pemilik nama sebenar Norliza Abdul Aziz ini juga antara penyanyi hebat yang belum pernah menggenggam sebarang anugerah yang mengiktiraf bakat seninya. 

Jadi, adakah malam ini bakal menyaksikan sejarah baharu tercipta?

Menang kalah itu adat. Tapi, dalam sudut sanubari paling dalam, Liza dan lima peserta lain pastinya menyimpan keinginan jadi juara pertandingan. Kalau tidak menggunung pun harapan itu, mungkin sekelumit, pasti ada.

Tapi Liza, yang kemampuan vokalnya mampu meroket hingga ke tahap sopran, tetap berpegang pada niat awal menyertai GV11, iaitu sekadar mahu menghiburkan dan menggembirakan peminat.

“Pada usia 62 tahun, selepas lebih 45 tahun saya menjadi penyanyi, saya sahut cabaran ikuti pertandingan nyanyian. Memang niat masuk GV11 adalah untuk peminat. 

“Kalah menang Tuhan yang tentukan. Sebenarnya, ada kemenangan lain yang telah pun saya miliki dalam pertandingan ini, iaitu apabila saya semakin dikenali, semakin diikuti dan bertambah peminat lebih-lebih lagi dalam kalangan orang muda.

“Saya terkejut apabila ada peminat yang maklumkan anaknya, yang berusia lima tahun, ikuti perjalanan saya dalam GV11, hafal lagu-lagu yang menjadi tugasan saya setiap minggu. 

“Benarlah, besar impaknya masuk GV. Banyak perubahan yang berlaku sepanjang 12 minggu. Tapi, saya tetap Liza Aziz yang sama. Tak mungkin berubah kalau popular, tetap menjadi penyanyi yang hanya mahu menghiburkan,” katanya.

Sebenarnya, GV telah melunaskan harapan Liza Aziz yang sejak dia bermula menjadi penyanyi, tidak pernah kesampaian, iaitu untuk belajar nyanyian secara formal.

Saya terkejut apabila anak seniwati Normadiah dan seniman Aziz Jaafar ini memaklumkan dia tidak pernah mengikuti mana-mana kelas nyanyian, apatah lagi institusi seni.

Hanya pengalaman yang mengajar dan membentuk nyanyian Liza Aziz yang kita dengari, hari ini. Jadi apabila berpeluang masuk dalam GV11, Liza ibaratkan seperti masuk gedung ilmu yang diidamkannya selama ini.

“Saya tahu, jika masuk GV11, saya akan belajar banyak perkara. Sebab itu, saya masuk pertandingan ini dalam keadaan kosong. Saya merelakan nyanyian saya dikritik, sentiasa bersedia dengan apa yang bakal saya hadap sepanjang 12 minggu ini, saya redah.

“Sebelum ini, saya ingat nyanyian saya bagus. Tapi apabila masuk GV11, buat persembahan setiap minggu, barulah saya nampak banyak kekurangan. Contoh, apabila Datuk Syafinaz Selamat tegur tentang ekspresi saya ketika menyanyi. Selepas itu barulah saya belajar cara bercerita dalam lagu. Begitu juga dengan masalah hafal lirik, saya atasi dalam GV11 selepas bertahun-tahun menghadapinya.

“Tapi, hadiah paling bermakna sepanjang menjadi peserta GV adalah kekuatan minda, itu yang saya dapat selepas melalui penat dan tekanan dalam pertandingan ini.

“Mungkin ramai tak tahu yang saya hampir menarik diri kerana mengalah dengan tekanan dan kesukaran dalam pertandingan ini, sampai ada fasa suara saya hilang sepenuhnya kemudian saya tak mahu meneruskan kerana risau orang kritik keputusan awal saya dalam GV11 apabila saya tidak mampu menyanyi dengan baik.

“Tapi Alhamdulillah, suara saya sempat pulih. Juri, seperti Datuk Ramli MS, keluarga dan rakan-rakan juga nasihatkan dan beri semangat agar saya teruskan. Dan kini, saya bertahan sampai ke minggu akhir,” kongsinya.

KEKUATAN BERSAMA AZLINA

Liza dan kakaknya, Azlina Aziz ibarat peribahasa air dicincang tak akan putus. Keduanya diangkat dalam industri ini sebagai vokalis hebat yang berada pada liga mereka tersendiri. 

Kata Liza, tiada istilah persaingan antara dia dan kakaknya meskipun kalau ditimbangkan, Azlina sedikit lebih menyerlah dengan sembilan album studio dan beberapa buah filem yang dilakonkannya. 

“Kami adik beradik sama sahaja, tiada lebih, tiada kurang. Kami tidak pernah fikir begitu. 

“Kalau orang membanding-bandingkan kami, itu hak mereka. Pandangan masing-masing, jadi, terpulang. 

“Kami adik beradik tidak pernah overshadow antara satu sama lain.  Saya malah sangat bangga dengan pencapaiannya setakat ini.

“Malah, kami dapat kekuatan apabila menyanyi bersama. Ia perkara yang hanya berlaku antara adik beradik,” ujarnya.

BERPERANG DENGAN PERSEPSI IMEJ

Tiada jalan mudah buat seorang Liza Aziz meskipun berstatuskan anak kepada pasangan bintang bertaraf legenda. Susahnya bergelar anak seni hanya dia dan Tuhan yang tahu. 

Liza puas berperang dengan persepsi imej sejak titik pemulanya sebagai penyanyi. Seringkali dia ‘dimomokkan’ , dikatakan tidak cantik justeru sering berdepan episod-episod penolakan. Itu pahit yang terpaksa Liza telan.

“Dulu memang saya berdepan masalah berkaitan imej, banyak kali berdepan rejection. Antara episod yang paling menyedihkan apabila cadangan menjadikan saya penyanyi untuk band Tentera Udara Malaysia (TUDM) ditolak hanya kerana saya dianggap tidak cantik. Saya hadap perkara ini ketika usia saya masuk 20-an.

“Disebabkan rupa paras, nasib saya juga diperkotak katikkan. Dua album saya tidak dipromosikan dengan baik. Hanya janji-janji palsu dan cakap-cakap kosong sayang saya terima. Semua ini hanya disebabkan ada yang berpandangan saya tidak cantik.

“Sebab itu hampir keseluruhan tempoh karier saya banyak dihabiskan menjadi penyanyi latar, kelab malam dan undangan luar negara. 

“Sekarang sudah berbeza, ada sekumpulan orang yang membantu menaik taraf imej saya. Dan sekarang, bila orang puji saya cantik, saya macam tak percaya, sebab bertahun-tahun saya diberitahu perkara sebaliknya. Saya berterima kasih kepada mereka yang menghargai saya. Perkara itu membuatkan saya lebih yakin. 

“Hari ini persepsi saya tentang diri sendiri sudah berubah, lebih positif. Saya selalu katakan pada diri sendiri bahawa saya ini cantik,” kongsinya.

Kata Liza lagi, dia tidak pernah menggunakan nama dan kemasyhuran orang tuanya sebagai batu loncatan untuk masuk secara mudah dalam dunia seni.

Apa yang dicapai hari ini adalah hasil usaha dan keringatnya sendiri tanpa menggunakan status  sebagai anak kepada seniwati dan seniman terbilang.

“Walaupun mak dan ayah saya orang seni, saya tetap kena bermula dari bawah. Saya tak guna nama mereka, orang kenal saya kerana bakat nyanyian saya.

“Walaupun dulu hanya bermula penyanyi latar, saya tetap berlapang dada kerana saya dikenali dengan bakat, bukan sebagai anak orang seni yang terkenal,” jelasnya.

Meskipun enggan ‘menunggang’ populariti mak ayah, Liza tetap berbangga dan meneladani orang tuanya yang banyak berkorban untuk anak-anak.

“Saya bangga jadi anak Normadiah dan Aziz Jaafar kerana saya melihat sendiri pengorbanan mereka. 

“Ketika hayat mereka, pada usia lanjut, masih bekerja, buat show sana ini untuk mencari nafkah demi membesarkan kami adik beradik. Bila bercerita tentang mereka, saya sedih.

“Sekarang umur saya sudah meningkat, saya faham perasaan mereka dulu yang terpaksa bersusah payan bekerja pada usia lanjut. 

“Apa pun, sampai sekarang saya pegang nasih mak ayah, kalau mahu jadi penyanyi, jadilah yang baik. Jangan cemar nama baik keluarga,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya