SHAH ALAM: “Akhirnya kini pasti saya menang.”
Demikian luahan Liza Aziz sebaik sahaja dia diumumkan sebagai juara Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11).
Liza Aziz yang menepati ramalan mencipta magis menerusi persembahan solo membawakan lagu I Surrender dipopularkan Celine Dion selain persembahan duet membawakan lagu Cinta bersama Kris Dayanti.
Penyanyi bertaraf legenda itu mengenepikan lima peserta lain sekali gus mendominasi kedudukan pertama.
Kemenangannya melayakkan dia membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi.
“Terima kasih kepada keluarga dan dream team yang mencantikkan saya.
“Terima kasih juga kepada Astro yang menjemput saya menyertai pertandingan ini.
“Kepada peminat dan buat mereka yang suka saya atau tidak, terima kasih,” katanya.
Ning Baizura sementara itu dinobatkan naib juara, melayakkan dia pulang dengan hadiah RM50,000 dan trofi.
Sheila Abdul pula menamatkan perjuangannya sebagai peserta GV11 di tempat ketiga sekali gus membawa pulang RM30,000 berserta trofi.
Penyanyi Indonesia, Dadali Dyrga berpuas hati ditempat keempat sekali gus membawa pulang RM20,000 berserta trofi manakala tempat kelima disandang Zehra Zambri yang membawa pulang RM15,000 dan trofi.
Kumpulan The Lima sekadar berpuas hati di tempat ke-6, membawa pulang RM10,000 berserta trofi.
Pentas akhir GV11 yang berlangsung di MBSA di sini dijurikan Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang.
Program popular yang ditayangkan secara langsung di Astro Ria itu dihoskan pasangan pengacara Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad.