SUBANG: Laporan mengaitkan lima individu sebagai pengarah bebas bukan eksekutif Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang meletakkan jawatan susulan penyahsenaraian syarikat itu daripada Bursa Malaysia disifatkan sebagai sebahagian daripada proses biasa dalam pengurusan syarikat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana ia adalah prosedur biasa bagi sebuah syarikat.
“Saya percaya syarikat telah mengambil tindakan yang diperlukan.
“Sebarang aduan rasmi akan disiasat oleh jawatankuasa berkaitan, termasuk jika terdapat isu berkaitan ganti rugi.
“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, kita mempunyai jawatankuasa yang akan meneliti sebarang aduan yang dikemukakan oleh pihak berkaitan. Jika ada perkara yang perlu disiasat, tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Ninja Cold, di sini hari ini.
Sebelum ini, lima pengarah bebas bukan eksekutif MAHB meletak jawatan susulan penyahsenaraian syarikat itu daripada Bursa Malaysia selepas pengambilalihan oleh Gateway Development Alliance Sdn Bhd (GDA).
Selain itu, Anthony turut mengulas gesaan beberapa bahagian Pemuda DAP agar tindakan disiplin diambil terhadap Tan Khong Chong, yang merupakan pembantu khas Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng, susulan kekecohan pada majlis makan malam penghormatan Lim Kit Siang di Pulau Pinang, Sabtu lalu.
“Setakat ini, tiada keputusan mengenai perkara itu,” katanya ringkas.
Beliau turut mengulas berhubung isu kelulusan bersyarat diberikan kepada tiga syarikat baharu bagi melaksanakan perkhidmatan sebagai pusat pemeriksaan kenderaan motor (PPKM).
Anthony berkata, kriteria baharu bagi syarikat yang bakal mengambil alih perkhidmatan itu telah dijelaskan secara terperinci di Parlimen dan turut dimuat naik di media sosialnya.
“Saya telah menjelaskan perkara ini secara terperinci di Parlimen semalam. Jawapan saya di sana adalah penjelasan rasmi saya. Saya juga telah memuat naik video di media sosial yang boleh dirujuk untuk maklumat lanjut,” katanya.-UTUSAN