KEMAMAN: Enam individu yang dipercayai memukul seorang lelaki kurang upaya (OKU) kategori ketidakupayaan mental di pasar pagi Chukai, di sini bulan lalu telah dihadapkan ke mahkamah, Isnin lepas.
Difahamkan, seorang bapa dan dua anak lelakinya adalah antara enam individu berkenaan yang didakwa di Mahkamah Majistret di sini.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, keenam-enam tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
“Lima daripada tertuduh telah mengaku bersalah manakala seorang lagi lelaki minta dibicarakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Razi berkata, kesemua tertuduh yang mengaku bersalah dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,000 setiap seorang.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi pada 17 Januari lalu, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, atau lebih dikenali sebagai Paijang cedera dipukul beberapa individu selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar salah sebuah gerai jualan. – UTUSAN