Lima jam keluarkan mayat rentung kebakaran kilang

Lima jam keluarkan mayat rentung kebakaran kilang

KEBAKARAN di bilik jana kuasa di sebuah kilang elektronik di Kawasan Perindustrian Tangga Batu, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Operasi mengeluarkan mangsa dalam kebakaran bilik jana kuasa di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Tangga Batu di sini hari ini, memakan masa hampir lima jam selepas dua mangsa disahkan rentung dan terperangkap dalam ruangan sempit tersebut.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10 pagi itu mengorbankan dua lelaki terdiri daripada seorang warga tempatan, R. Pavithiran, 28, dan seorang warga Bangladesh, Abrar Aslam berusia dalam lingkungan 30-an.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Melaka, Penguasa Kanan Bomba II Mohd. Khairul Nizam Mohamad Anuar berkata, cabaran utama adalah kesukaran mengakses bilik jana kuasa yang sempit serta perlu memastikan bekalan elektrik diputuskan sepenuhnya sebelum sebarang tindakan penyelamatan dijalankan.

Katanya, operasi dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Kami menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.08 pagi dan tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian. Kebakaran melibatkan bilik jana kuasa ini memerlukan pemeriksaan keselamatan rapi kerana risiko renjatan elektrik yang tinggi.

“Pihak bomba perlu mendapatkan pengesahan daripada TNB dan pegawai teknikal kilang untuk memastikan tiada bekalan elektrik aktif sebelum anggota kami dapat masuk ke kawasan berbahaya tersebut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Tambah Mohd. Khairul Nizam, mangsa berjaya dikeluarkan pada pukul 3.35 petang dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala dua lagi mangsa dipercayai warga asing yang cedera telah dihantar ke Hospital Melaka.

Jelasnya, siasatan awal mendapati, kilang terlibat sudah menghentikan operasinya dan kerja-kerja pengumpulan sisa kilang sedang dilakukan kontraktor luar.

“Mangsa terkorban dipercayai pekerja kontraktor yang sedang melakukan aktiviti pembersihan sisa ketika kebakaran berlaku. Punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya