Lima ditahan disyaki cetak, guna wang palsu - Utusan Malaysia

Lima ditahan disyaki cetak, guna wang palsu

tahanan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis menahan dua lelaki dan tiga wanita warga tempatan yang disyaki mencetak dan menggunakan wang palsu di beberapa kawasan di Perak.

Mereka yang ditangkap dikatakan menggunakan wang palsu untuk memberi barangan seperti pakaian, minuman, mengisi petrol, menambah nilai Touch & Go serta tambah nilai telefon.

Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, pada 29 Januari lalu pihak polis menerima tiga laporan daripada pemilik premis perniagaan pakaian dan stesen minyak di daerah Kerian berkaitan penggunaan wang palsu di premis mereka.

Katanya, pada 3 Februari pukul 1.30 pagi, satu serbuan polis telah dilakukan di sebuah rumah inap di Pusing dan hasil pemeriksaan yang dijalankan pihak polis telah menahan kesemua suspek berumur antara 26 hingga 36 tahun.

Dalam serbuan, polis menjumpai dan merampas tiga keping nota wang RM100, sekeping nota wang RM20, enam telefon bimbit pelbagai jenis, seunit komputer riba, satu rim kertas A4, sebilah gunting, beberapa helai pakaian dan sebuah kenderaan menggunakan nombor plat palsu.

“Sindiket ini juga menggunakan wang palsu bagi tujuan pembelian telefon bimbit yang ditawarkan dalam media sosial. Ahli sindiket akan berjumpa secara bersemuka dengan penjual telefon bimbit dan menyerahkan wang palsu sebagai pembayaran sebelum mengambil telefon bimbit berkenaan kemudian terus menghilangkan diri sebagai modus operandi,” kata Zulkafli hari ini.

Katanya, hasil siasatan mendapati sindiket itu terlibat dalam sembilan kes penggunaan wang palsu di sekitar Ipoh, Batu Gajah, Manjung, Kuala Kangsar dan Kerian dengan kesemua kes tersebut telah dilaporkan pada tahun 2024 dan 2025.

Jelasnya, sehingga kini polis berjaya menjumpai dan merampas kembali sejumlah 83 keping nota RM100 palsu dan tiga keping nota RM20.00 palsu yang digunakan oleh sindiket sebelum ini.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine dan mereka turut mempunyai rekod berkaitan kesalahan jenayah, narkotik dan komersil.

“Salah seorang suspek perempuan juga sedang menghadapi perbicaraan berkaitan wang palsu di mahkamah di Selangor. Kesemua suspek kini direman selama empat hari bermula 3 Februari 2025 sehingga 6 Februari 2025 untuk siasatan lanjut.,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 489B, 489C dan 489D Kanun Keseksaan serta Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah berbahaya 1952.

“Peniaga dan masyarakat secara amnya perlu lebih peka dan teliti semasa menerima pembayaran wang tunai bagi apa jua urusan jual beli dilakukan. sekiranya terkesan penggunaan wang palsu, segera laporkan kepada pihak polis,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya