Lima beranak rentung: Sampel kebakaran dihantar ke makmal forensik

Lima beranak rentung: Sampel kebakaran dihantar ke makmal forensik

BEBERAPA sampel kebakaran sebuah rumah di Kampung Berangan Enam, Umbai, Melaka telah diambil dan dihantar ke Makmal Forensik Penyiasatan Kebakaran JBPM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Sampel kayu, kain, kabel pendawaian dan cebisan lantai yang musnah telah diambil untuk dianalisis bagi menentukan punca kebakaran sebuah rumah yang mengorbankan lima sekeluarga dalam kejadian di Kampung Berangan Enam, Umbai di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd. Pisar Aziz berkata, sampel berkenaan akan dihantar ke Makmal Forensik Penyiasatan Kebakaran JBPM di Seremban, Negeri Sembilan untuk dianalisis.

Katanya, pemilihan sampel tersebut dilakukan oleh unit khidmat anjing pengesan (K9) JBPM di lokasi kejadian.

“Kami telah mengambil sampel ditempat kejadian seperti kayu, kabel pendawaian, kain dan cebisan lantai dengan bantuan unit anjing pengesan. Sampel ini akan dihantar ke makmal forensik di Seremban untuk dianalisis.

“Keputusan dijangka diperoleh dalam tempoh dua minggu lagi, bagaimanapun di peringkat awal ini kita tidak menolak andaian kemungkinan berlaku litar pintas yang menyebabkan kebakaran tersebut,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan sebuah rumah jenis separuh kekal berkeluasan 20×60 kaki persegi musnah dalam kebakaran yang mengorbankan lima sekeluarga termasuk seorang wanita hamil lima bulan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, mangsa yang maut ialah Laila Fathinah Mustapa, 37 dan empat anaknya, Nur Damia Batrisyia Abdullah, 13; Izz Daffa Hafizuddin, 7; Nur Dalilah Khadijah, 6 dan Izz Danish Fathi, 4 tahun.

Seorang lagi mangsa yang juga suami kepada Laila Fathinah, Muhammad Khairuddin Sa’ari, 35, terselamat, namun mengalami sesak nafas akibat menghidu kepulan tebal asap kebakaran.

Mengulas lanjut, Mohd. Pisar berkata, kemungkinan lintar pintas itu berlaku kerana kebanyakkan rumah di kawasan luar bandar masih menggunakan sistem pendawaian lama.

Menurutnya, anggaran kerugian mencecah lebih RM100,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya