KUALA LUMPUR : Lewat memasuki gelanggang seni muzik, penyanyi, Nanad, bagaimanapun optimis bahawa peluang untuknya meneroka bidang ini masih terbuka luas meskipun usianya telah menjengah angka 37 tahun.
Menurut Nanad atau nama sebenarnya Nadiatul Syahirah Seman, umpama rezeki terpijak, dia bagaimanapun enggan mensia-siakan peluang yang datang dalam usaha menempa nama dalam industri seni sebagai penyanyi.
“Saya sedar dan akui agak lewat sebenarnya mulakan langkah dalam dunia nyanyian ini. Namun saya perlu positif sebab pasti akan ada rezeki saya satu hari nanti.
“Kita lihat saja penyanyi seperti Shiha Zikir dan Marsha Milan, mereka pun bermula lambat tapi kini semakin berjaya.
“Single Setia Mencintaimu adalah hasil karya daripada komposer terkenal Zul 2by2 yang memang saya dah lama nantikan untuk bekerjasama,” katanya.
Mengulas mengenai kerjaya hakikinya sebagai juruaudit pencukaian di salah sebuah agensi kerajaan, Nanad menganggap ia juga bukan satu halangan untuknya menjadikan bidang muzik sebagai kerjaya sampingan.
Malah, katanya, peluang merakamkan lagu hasil garapan Zul 2by2 juga diyakini mampu meraih minat dan perhatian pendengar sekali gus menjadi buah tangan untuk peminat mengenalinya.
“Pada awalnya saya ditawarkan dua buah lagu tapi Setia Mencintaimu berjaya tawan hati saya.
“Bait-bait lirik single itu seakan dekat dengan diri saya sebagai wanita dan isteri yang mahu dihargai serta disayangi.
“Saya beritahu abang Zul saya mahukan lagu itu. Malah, saya teruja sebab saya adalah penyanyi wanita yang pertama selepas sekian lama abang Zul tak buat lagu untuk penyanyi wanita.
“Kali terakhir ialah penyanyi Indah Ruhaila yang saya rasa sudah lebih 10 tahun,” kongsinya yang memaklumkan lagu Setia Mencintaimu dicipta oleh Aiman manakala lirik pula ditulis ole Anje Maya.
Dalam pada itu, bagi memastikan lagu tersebut mudah dekat dengan pendengar, Nanad berusaha sehabis untuk melibatkan diri dalam pembikinan awal sesi rakaman sehinggalah ke penggambaran muzik video.
“Saya menyanyi bukan nak kejar populariti. Walaupun saya ada kerja hakiki tetapi saya tak meletakkan kerjaya nyanyian itu sebagai keutamaan.
“Menyanyi lebih kepada cara saya meluahkan perasaan. Saya harap sangat lagu ini kena dengan jiwa pendengar,” jelasnya.
Mengangkat genre balada sebagai salam perkenalan, Nanad harus setuju jika lagu bertemakan cinta dan kasih sayang lebih mudah ‘melekat’ di hati pendengar.
“Kalau dengar betul-betul lagu ini, ia bukanlah tentang patah hati atau kekecewaan. Sebaliknya ia mengenai kasih sayang dan rasa cinta kepada pasangan.
“Single ini boleh dikatakan pembuka rezeki buat saya apabila terpilih untuk dijadikan lagu runut bunyi (OST) bagi sebuah drama di stesen televisyen.
“Saya sebenarnya sukakan ‘vibe’ lagu seperti muzik Indonesia. Syukur dan saya bertuah apabila abang Zul merealisasikan impian saya,” katanya.