Lesen miliki senjata api perlu tapisan cermat PDRM, KDN

Lesen miliki senjata api perlu tapisan cermat PDRM, KDN

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail-UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjelaskan tidak mudah bagi mana-mana individu mendapatkan lesen memiliki senjata api kerana ia perlu melepasi syarat ketat dan cermat.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini termasuk perlu melepasi saringan dibuat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KDN sendiri.

Beliau berkata, tidak ada rakyat Malaysia yang boleh memiliki senjata api kecuali dengan perlesenan dan pemilikan tanpa lesen adalah satu kesalahan jenayah berat.

“Saya faham orang awam berhak untuk merasa resah dan gelisah dari segi sistem pemilikan senjata di negara ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas lanjut sama ada wujud isu kelonggaran pemilikan senjata api susulan insiden tembakan di pusat beli-belah di Setia Alam, Sabtu lalu.

Katanya, beliau juga mendedahkan hanya meluluskan rayuan tiga permohonan lesen milikan senjata api bagi setiap 100 permohonan sejak memangku jawatan Menteri Dalam Negeri.

Saifuddin turut mengakui ada permohonan yang diproses sehingga dua tahun kerana ia perlu melalui tapisan rapi dan cermat.

Mengulas insiden tembakan itu, katanya, rakyat tidak perlu bimbang kerana insiden itu tidak memberi gambaran tentang ancaman keselamatan di seluruh negara dan rakyat tidak perlu panik kerana keselamatan negara terus terkawal.

Katanya, tahap kesiapsiagaan polis juga berada pada tahap terbaik dan ia dibuktikan apabila suspek yang terbabit dalam insiden itu telah dikenal pasti, malah rekod jenayah lampau juga berjaya dijejaki. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya