KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menubuhkan Lembaga Penasihat Francais selaras dengan Akta Francais 1998.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, lembaga ini akan menasihati Pendaftar Francais mengenai perkara-perkara berkaitan francais.
“Lembaga ini juga berfungsi memastikan pandangan holistik dan strategik diambil kira dalam membuat keputusan dan juga bertindak sebagai penghubung di antara pihak industri dan kementerian dalam mencadangkan dasar dan hala tuju pembangunan industri francais,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Ewon berkata, sebanyak RM33.11 juta disalurkan kepada 175 usahawan francais di seluruh negara menerusi program pembiayaan yang dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melalui agensinya, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas).
Beliau berkata, inisiatif itu bertujuan membantu usahawan francais mendapatkan modal bagi memperkembangkan perniagaan mereka dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Katanya, kementerian setakat ini telah melaksanakan sebanyak 28 program pembangunan kapasiti dan pemantapan modal insan telah dilaksanakan, melibatkan seramai 877 usahawan francais.
“Antara program utama yang dijalankan termasuk Latihan Pengukuhan Usahawan, Transformasi Keusahawanan Francais dan Roadmap to Franchise.
“Program-program ini bertujuan meningkatkan kemahiran, daya saing serta pengetahuan para usahawan dalam bidang francais,” katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) yang memintanya menjelaskan jumlah inisiatif pembiayaan dan latihan yang telah disalurkan kepada usahawan francais. – UTUSAN