BALIK PULAU: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki cuba mencuri dalam sebuah pesawat ketika dalam penerbangan dari Subang ke Pulau Pinang, semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, seorang penumpang menyedari suspek berusia 52 tahun itu sedang membuka bagasinya dan segera memaklumkan kepada kru penerbangan.
“Suspek kemudian diserahkan kepada pihak polis selepas pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas.
“Siasatan awal mendapati tiada barang berharga yang hilang, namun suspek tetap ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurutnya, suspek akan direman di Mahkamah Balik Pulau bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan.
“Pihak polis turut menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dengan barangan peribadi mereka ketika berada dalam pesawat atau mana-mana pengangkutan awam,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Sazalee berkata, polis menahan tiga individu termasuk pemilik premis dan dua pekerja asing dalam satu serbuan ke atas sebuah kedai barang lusuh di sini, semalam.
Katanya, dalam serbuan itu, polis menemui beberapa komponen motosikal yang telah dileraikan serta pelbagai barangan besi tembaga yang gagal dikemukakan bukti pemilikannya.
“Pemilik premis ditahan kerana menggaji pekerja tanpa permit sah serta gagal mengemukakan lesen perniagaan yang sah. Kedua-dua pekerja warga asing turut ditahan kerana bekerja tanpa permit, manakala tindakan saman diambil ke atas premis berkenaan kerana beroperasi tanpa lesen,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6 Akta Peniaga Barangan Terpakai 1946, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955. – UTUSAN