IPOH: Seorang pekerja di sebuah syarikat sewa kenderaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah kepada seorang lelaki dengan menggunakan parang, Jun tahun lalu.
Tertuduh, K. Karan, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah dengan senjata iaitu sebilah parang kepada seorang lelaki berusia 30 tahun sehingga tangan kirinya terputus.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia di Jalan Sultan Azlan Shah, Ipoh pada pukul 11 pagi, 23 Jun 2024.
Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, N.M. Moganaraj Mithra mencadangkan ikat jamin sebanyak RM15,000 dikenakan kepada tertuduh berserta syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan.
Bagaimanapun, peguam, J.K. Kala yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan minimum kerana anak guamnya yang masih bujang itu merupakan seorang pekerja am di sebuah syarikat sewa kenderaan dengan pendapatan bulanan sebanyak RM1,700.
Menurut beliau, anak guamnya itu juga adalah seorang yatim piatu dan kini menanggung pembelajaran dua adik lelaki dan perempuan yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 10 Mac depan.
Sementara itu, dalam prosiding di hadapan Majistret S. Punitha, tertuduh turut didakwa bersama N. Kumaresan, 30; R. Navinthiran, 34; S. Kalidas, 28; G. Loghendraan, 28, dan Mohamad Omar Din Syed Mohamad Khan, 29, atas tuduhan melakukan kesalahan merusuh menggunakan parang, kayu dan cangkul sebagai senjata untuk menyerang.
Perbuatan itu dilakukan kesemua tertuduh bersama lapan lagi yang masih bebas di lokasi, tarikh dan masa yang sama.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Dalam prosiding itu, Karan mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan tersebut dan dikenakan jaminan sebanyak RM2,000 manakala lima tertuduh lain yang membuat pengakuan bersalah, masing-masing didenda RM2,500 atau lima bulan penjara jika gagal bayar.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Vatchira Wong Rui Fern manakala semua tertuduh diwakili Peguam J.K. Kala.
Menerusi laporan media sebelum ini, anggota bomba yang menjalankan operasi memadam kebakaran sebuah kereta berhampiran Hospital Bahagia Ulu Kinta menemukan pergelangan tangan manusia dipercayai tangan kiri di atas jalan.
Berikutan kejadian itu, siasatan dijalankan di mana pemilik tangan berjaya dikesan dan menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Dalam kejadian itu, dua lagi rakan mangsa turut parah dan dirawat di hospital sama dengan kecederaan hampir putus pergelangan tangan kiri dan putus urat tapak tangan kiri.
Kejadian dikatakan berpunca daripada pergaduhan antara ketiga-tiga lelaki itu dengan sekumpulan 20 lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang dan kayu.
Punca pergaduhan itu dipercayai kerana perebutan kawasan pengedaran dadah. – UTUSAN