Lelaki OKU mengaku bersalah amang seksual kanak-kanak

Lelaki OKU mengaku bersalah amang seksual kanak-kanak di masjid

MUHAMAD Adam Haikal Hakim dibawa ke Mahkamah Sesyen Ampang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG: Seorang lelaki yang melakukan gangguan seksual di sebuah masjid di Batang Kali dekat sini mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan, minggu lalu.

Tertuduh, Muhamad Adam Haikal Hakim, 19, yang merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norshila Kamarudin.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Adam Haikal didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun sekitar pukul 6.20 pagi, pada 21 Februari 2025 di sebuah masjid di Batang Kali di Hulu Selangor.

Tertuduh itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2007 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan memohon mahkamah memberikan satu tarikh sebutan bagi laporan sosial berikutan tertuduh merupakan pesalah muda.

Beliau turut mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dan beberapa syarat tambahan dikenakan terhadap tertuduh.

“Tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat polis berdekatan pada setiap bulan dan tidak menganggu mangsa serta saksi pendakwaan,” katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 27 Mac hadapan bagi sebutan semula kes termasuk untuk laporan sosial dan jatuh hukum.

Pada minggu lalu, tular sebuah video menunjukkan seorang lelaki cuba membuat perkara tidak senonoh terhadap seorang kanak-kanak perempuan ketika solat Subuh di sebuah masjid.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) masjid menunjukkan seorang lelaki yang berkopiah putih menyelinap masuk ke ruang solat wanita sebelum memeluk mangsa dari arah belakang dan membawa kanak-kanak itu keluar.

Ketika kejadian, kanak-kanak itu sedang sujud bersendirian di saf belakang tanpa disedari jemaah wanita lain.

Mangsa namun dapat melepaskan diri selepas bergelut dengan suspek.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya