IPOH: Insiden seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) penglihatan maut selepas terjatuh dan dilanggar tren di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Titiwangsa, Kuala Lumpur Sabtu lalu, bukan disebabkan oleh kegagalan Sistem Keselamatan Hentian Kecemasan Pencerobohan Penumpang (PIES).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, meskipun siasatan kes tersebut masih dijalankan, pihaknya yakin kejadian itu bukan berpunca daripada kegagalan sistem di stesen berkenaan.
“Saya tidak fikir begitu (kegagalan sistem). Kalau ada apa-apa objek jatuh di landasan, biasanya sistem akan automatik ‘shut down’. Kebetulan semasa mangsa terjatuh, tren pun sampai jadi tidak sempat untuk sistem berhenti.
“Bagaimanapun, saya tidak mahu merumuskan apa punca kejadian tersebut berlaku sehingga siasatan selesai, tapi sudah tentu bukannya disebabkan sistem gagal,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Transformasi Bas Berhenti-Henti (SBST) BAS.MY Ipoh di Dewan Bandaraya Ipoh, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming dan Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Datuk Azlan Shah Al Bakri.
Menurut Anthony, susulan kejadian tersebut, pihaknya akan menambah baik infrastruktur di semua stesen LRT agar insiden seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.
Katanya, ini termasuk penambahan kamera litar tertutup (CCTV) yang lebih canggih dan penyediaan pintu skrin platform (PSD).
“LRT Titiwangsa antara stesen yang tidak dilengkapi PSD, sama seperti stesen LRT lain yang lama. Jadi, kita akan tambah baik infrastruktur di sana namun sudah tentu mengambil sedikit masa dan dilakukan secara berfasa.
“Untuk langkah segera, kita akan pastikan polis bantuan dapat membuat kawalan sekali gus lebih berjaga-jaga dalam memastikan keselamatan orang ramai,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki OKU penglihatan yang identitinya masih belum dikenal pasti maut selepas dipercayai terjatuh ke kawasan rel Stesen LRT Titiwangsa sebelum dilanggar tren yang melintasi laluan tersebut.
Dalam kejadian yang dilaporkan pada pukul 8.38 pagi itu, mangsa ditemui berada di bawah landasan rel keretapi dan disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan. – UTUSAN