KUALA LUMPUR: Seorang individu maut selepas terjatuh dari tingkat tiga sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu melalui panggilan kecemasan MERS 999 kira-kira pukul 8.56 pagi.
“Sebaik menerima maklumat, sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan awal. Mangsa yang mengalami kecederaan parah telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat.
“Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara siasatan lanjut dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran. – UTUSAN