PUCHONG: Seorang lelaki ditemukan maut selepas tersepit di bawah tayar sebuah lori dalam kemalangan di Lebuhraya Bukit Jalil dari Kinrara menghala ke IOI Puchong, di sini hari ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 8.59 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba pada pukul 9.08 pagi, pasukan operasi mendapati seorang lelaki dipercayai pejalan kaki berusia lingkungan 50-an berada dalam keadaan tersepit di bawah tayar lori.
“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa segera dijalankan sebelum pasukan perubatan Kementerian Kesihatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, operasi menyelamat melibatkan enam anggota termasuk seorang komander operasi dengan kekuatan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu unit Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS).
“Operasi ditamatkan sepenuhnya selepas semua tindakan penyelamatan selesai dijalankan,” katanya. – UTUSAN