Lelaki maki penguatkuasa ketika operasi JPJ ditahan

Lelaki maki penguatkuasa ketika operasi JPJ ditahan

LELAKI yang cuba menimbulkan provokasi apabila memaki penguatkuasa yang bertugas selepas motosikalnya disita kerana LKM tamat tempoh dalam Op Khas Tahun Baharu Cina (Op Khas TBC) 2025 di lorong motosikal, Plaza Tol Pulau Pinang malam tadi ditahan untuk siasatan.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Tindakan seorang penunggang motosikal berusia 50 tahun mengeluarkan kata-kata kesat terhadap beberapa anggota penguatkuasa membawa padah selepas dia ditahan polis, malam tadi.

Terdahulu, motosikal lelaki tersebut diperiksa oleh penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dalam Op Khas Tahun Baharu Cina (Op Khas TBC) 2025 di lorong motosikal, Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang di sini.

Hasil pemeriksaan mendapati, Lesen Kenderaan Motor (LKM) motosikal berkenaan telah tamat tempoh sekaligus menyebabkan kenderaan itu perlu disita. Hal ini seterusnya menyebabkan suspek mula ‘naik angin’ sebelum bertindak mengeluarkan kata-kata kesat.

Dia kemudian terus melakukan provokasi secara aktif walaupun ditenangkan oleh teman wanitanya yang juga seorang warga Indonesia, malah, berterusan enggan memberi kerjasama walaupun diminta berbuat demikian berkali-kali.

Menurut Pengarah JPJ negeri, Zulkifly Ismail, lelaki terbabit terpaksa ditahan kerana dianggap telah menghalang tugas penjawat awam.

“Sebenarnya, kita amat berharap agar penunggang motosikal khususnya mahupun pemandu memahami tugas penguatkuasaan yang kami laksanakan ini.

“Kami bukannya sengaja mahu mencari salah atau menghukum, tetapi, ia lebih kepada bertujuan menjaga keselamatan pengguna jalan raya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, malam tadi.

Sementara itu, beliau berkata, secara keseluruhannya, sebanyak 31,122 buah kenderaan telah diperiksa dan sebanyak 4,105 notis juga dikeluarkan terhadap pemandu gagal mematuhi peraturan ditetapkan sepanjang operasi yang bermula sejak 20 Januari lalu.

“Selain itu, tumpuan turut diberikan terhadap kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh pemandu dan pemilik Kenderaan Perkhidmatan Barangan (KPB), Perkhidmatan Awam (KPA) dan motosikal,” katanya.

Selain JPJ, operasi terbabit turut disertai agensi-agensi penguatkuasaan lain termasuk polis, Jabatan Imigresen (JIM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan beberapa agensi lain.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya