DUNGUN : Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki menyimpan dan memiliki lebih 300 kotak mercun dan bunga api secara haram dalam serbuan di sebuah rumah di daerah ini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, lelaki berusia 43 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1 petang hasil maklumat awam selepas menemukan sejumlah mercun dan bunga api pelbagai jenis dan saiz di sebuah stor simpanan di rumah tersebut.
“Rampasan ini dianggarkan bernilai RM7,000 dan ada antara mercun yang dirampas tidak dibenarkan dijual di pasaran,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat polis Daerah Dungun, di sini hari ini.
Maizura berkata, pihaknya juga sedang melakukan siasatan terperinci dari mana lelaki itu mendapatkan bekalan mercun dan bunga api.
“Lelaki tersebut tidak mempunyai sebarang lesen dan permit untuk menyimpan dan menjual mercun dan bunga api. Kita percaya semua barang rampasan ini mungkin untuk dijual di pasaran sekitar daerah ini sempena bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
Maizura berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. – UTUSAN