Lelaki didakwa halang, beri isyarat tidak senonoh pada pengiring TPM

Lelaki didakwa halang, beri isyarat tidak senonoh pada pengiring TPM

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang Eksekutif Akaun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap dua pertuduhan menghalang tugas penjawat awam iaitu memberi isyarat tidak senonoh dan memintas kenderaan pengiring Timbalan Perdana Menteri pada bulan lalu.

Di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin, tertuduh, Joshua Chong Tien Kit, 28, didakwa memberi isyarat kurang senonoh dengan menunjukkan jari tengah kepada kenderaan dinaiki Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada 8 Januari lalu, pukul 2 petang di persimpangan jalan Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret lain, tertuduh didakwa atas kesalahan menghalang dua penjawat awam dengan memintas kenderaan yang mengiringi kenderaan dinaiki Timbalan Perdana Menteri pada tarikh, waktu dan lokasi sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-dua sekali.

Kedua-dua prosiding dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh dan Muhammad Faiz Abu Samah manakala Joshua diwakili peguam bela, P. Rajsurian.

Ketika mengemukakan rayuan berhubung jaminan, peguam bela memohon mahkamah mengurangkan kadar wang jaminan yang diberikan kepada anak guamnya atas alasan kesalahan pertama dan tiada risiko untuk melarikan diri.

Kedua-dua mahkamah masing-masing kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM5,900 dengan seorang penjamin.

Kedua-dua kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 15 April ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya