Lelaki didakwa guna lambang kebesaran Pahang tanpa kebenaran

Lelaki didakwa guna lambang kebesaran Pahang tanpa kebenaran

V. VICKNES dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini bagi didakwa atas pertuduhan menggunakan lambang rasmi Darjah Indera Mahkota Pahang tanpa kebenaran dalam kejadian bulan lalu. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan menggunakan lambang rasmi Darjah Indera Mahkota Pahang tanpa kebenaran dalam kejadian di Rantau di sini.

Tertuduh, V. Vicknes, 42, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah serta mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Syed Farid Syed Ali.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah menggunakan tanpa kebenaran lambang kebesaran tersebut bagi tujuan penjualan rumah dengan perbuatan mempamerkan pada kenderaan jenis Mercedes di sebuah stesen minyak di Pekan Rantau di sini kira-kira pukul 1.15 tengah hari pada 7 Januari lalu.

Oleh itu, dia didakwa di bawah Seksyen 3(1)(a) Akta Lambang dan nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5 akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda tidak melebihi RM500 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal kemudiannya memohon satu tarikh sebutan semula kes dan jaminan berwajaran.

Syed Farid kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 ke atas tertuduh.

Di kamar yang sama juga, tertuduh berhadapan dengan dua lagi pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi urusan pembelian rumah iaitu dengan menipu seorang wanita warga emas dengan memperdaya membuat bayaran sebanyak RM5,000 dari 8 Januari hingga 11 Januari di mesin deposit tunai (CDM) Pekan Rantau.

Tertuduh juga telah memperdaya warga emas yang sama untuk membuat pembayaran sebanyak RM6,000 dengan cara serahan tangan.

Oleh itu, tertuduh berdepan hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Nadia Ezzati kemudiannya menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan, bagaimanapun tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon jaminan dikurangkan.

Syed Farid kemudiannya membenarkan wang jaminan sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Dalam pada itu, di kamar berasingan di hadapan Majistret, Nurul Saqinah Rosli, tertuduh berdepan empat lagi pertuduhan di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 417 Kanun Keseksaan juga bagi urusan pembelian rumah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya