JOHOR BAHRU: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh ibu mentuanya di Taman Sri Skudai, di sini awal bulan ini.
Tertuduh, Zuraidi Zakaria, 51, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Atifah Hazimah Wahab.
Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Zuraidi didakwa membunuh Epah Daik, 79, di sebuah rumah di Jalan Tembaga Merah, Taman Sri Skudai pada pukul 4.20 petang, 5 Februari lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebat 12 kali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Mahkamah menetapkan 28 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan asid deoksiribonukleik (DNA).
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki dan wanita ditahan bagi membantu siasatan kes kematian seorang warga emas di sebuah rumah di Taman Sri Skudai.