PETALING JAYA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengesahkan lelaki berusia 19 tahun yang ditahan berhubung kes cabul kanak-kanak di sebuah masjid di Batang Kali dekat sini memiliki kad orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran.
Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim berkata, hasil pemeriksaan dan semakan dijalankan mendapati individu terbabit memang mempunyai kad OKU sejak kecil lagi.
“Hasil pemeriksaan kita dapati dia (suspek) memang mempunyai kad OKU Learning Disability (masalah pembelajaran) sejak kecil lagi,” katanya ketika dihubungi semalam.
Terdahulu, media melaporkan polis menunggu pengesahan JKM berhubung kad orang kurang upaya (OKU) milik lelaki berusia 19 tahun yang ditahan berhubung kes cabul kanak-kanak di sebuah masjid di Batang Kali.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, memang ada ditemui kad OKU itu namun ia perlu pengesahan JKM terlebih dahulu.
Lelaki berusia 19 tahun itu direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes cabul kanak-kanak perempuan di sebuah masjid di Batang Kali, di sini, kelmarin.
Lelaki itu ditahan reman sehingga 28 Februari ini mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.
Sebelum itu, Polis Hulu Selangor menerima laporan pada jam 8.19 pagi semalam berhubung kejadian yang tular di media sosial itu, sebelum suspek ditahan pada hari yang sama di sekitar Batang Kali. – UTUSAN