Lelaki bergelar Datuk rugi RM26.6 juta terperdaya pelaburan kripto

Lelaki bergelar Datuk rugi RM26.6 juta terperdaya pelaburan kripto

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki bergelar Datuk kerugian RM26.6 juta selepas menjadi mangsa kepada skim pelaburan mata wang kripto.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman. Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa yang juga pengarah syarikat pembinaan memaklumkan melihat iklan pelaburan berkenaan selepas membuat carian melalui Google.

Katanya, mangsa kemudiannya menekan pautan yang disertakan dan dimasukkan ke dalam kumpulan Whatsapp.

“Mangsa diajar berkenaan pelaburan oleh seorang individu yang menggelarkan dirinya Professor Stanley Lim.

“Terpedaya dengan janji-janji keuntungan yang ditawarkan, mangsa kemudian memuat turun aplikasi UVKXE bagi memulakan pelaburan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Ramli berkata, mangsa membuat sembilan pindahan wang ke sembilan akaun bank yang didaftarkan atas nama pelbagai syarikat berbeza sejak 17 Oktober hingga 24 Disember lalu.

“Jumlah keseluruhan pindahan yang dilakukan adalah bernilai RM26.6 juta. Melalui semakannya pada Januari lalu, mangsa mendapati akaun pelaburannya mencatatkan keuntungan sehingga USDT 269.247 juta (RM1.2 bilion).

“Bagaimanapun, apabila ingin mengeluarkan wang keuntungan berkenaan, mangsa diarahkan untuk membuat bayaran tambahan sebanyak RM5.56 juta atas alasan cukai,”katanya.

Katanya, untuk rekod, lima akaun bank milik syarikat yang digunakan dalam kes ini turut disiasat bersabit 38 kes penipuan yang lain.

Kata beliau, setakat ini, sejumlah 46 laporan polis diterima berkaitan skim penipuan pelaburan itu dengan nilai kerugian keseluruhan RM61.4 juta.

“Amat mendukacitakan kerana masih ada individu yang menjadi mangsa skim ini walaupun telah dua kali kenyataan dibuat berkenaan skim ini.

“Buat kesekian kalinya saya tegaskan kepada bakal-bakal pelabur di luar sana, jangan membuat pelaburan secara semberono (terburu-buru). Semua tawaran pelaburan di media sosial adalah palsu belaka dan perlu dianggap sedemikian.

“Kalau nak melabur, pergilah ke kaunter-kaunter yang sah. Jangan pernah percaya. Kalau dah ada banyak duit yang boleh dilaburkan, dapatkan nasihat. Jangan semberono,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya