KOTA KINABALU: Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Redonah Bahanda memberi gambaran tidak akan berlaku pertembungan antara dirinya dan abangnya, Datuk Wetrom Bahanda di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau.
Wetrom yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau difahamkan sedia memberi laluan kepada Redonah sekiranya Gagasan Rakyat meletakkan adiknya itu sebagai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di DUN Bandau pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Redonah berkata, legasi keluarga Bahanda yang sememangnya cukup dikenali dalam kalangan masyarakat di Kota Marudu.
“Saya tidak nafikan memang ada kelebihan disebabkan Bahanda, tetapi itu bukan faktor 100 peratus penyebab untuk saya bertanding. Saya bukan baharu dalam arena politik, saya berada dalam arena ini sejak 2002, saya mula bekerja sejak sekian lama.
“Sudah semestinya ia merupakan satu penghargaan kepada saya sekiranya saya diberi peluang untuk bertanding dan menjadi calon pada pilihan raya kali ini. Saya tidak akan sia-siakan peluang yang diberi.
“Saya rasa semua orang yang berada dalam politik tidak akan menolak sekiranya diberi peluang bertanding di tempat yang betul,” katanya ketika ditemui semasa majlis ramah mesra bersama media, semalam.
Redonah yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri berkata, beliau sudah cukup bersedia untuk menghadapi PRN17.
Kata beliau, perjuangan 30 peratus wanita dalam pembuat dasar antara perkara yang akan terus diperjuangkan olehnya selaku Ketua Wanita Gagasan Rakyat.
Katanya, perjuangan 30 peratus wanita itu bukan hanya dalam arena politik tetapi juga dalam urusan pentadbiran negara setelah melihat penglibatan mereka dalam membuat keputusan di peringkat agensi-agensi kerajaan belum mencapai sasaran ditetapkan.
Beliau berkata, perjuangan 30 peratus penglibatan wanita itu tidak perlu dilaksanakan secara drastik, biarlah dibuat secara berperingkat agar ia mampu dicapai.
Namun, sudah semestinya sebagai wanita, beliau juga ingin melihat aspek kesihatan dan pembangunan ekonomi melibatkan kaum wanita turut diberi perhatian serius agar wanita mampu menjana pendapatan biarpun dari rumah. – UTUSAN