BESUT: Sepasang suami isteri yang buntu untuk menyediakan kelengkapan persekolahan empat anak selepas mereka kehilangan sumber pendapatan tetap, menarik nafas lega selepas dibantu Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad).
Mohd. Salmi Mat Kila, 45, berkata, dia dan isterinya, Nor Yusrina Mohamad, 43, menghadapi masalah kewangan setelah si isteri mengalami kecederaan pada bahagian kaki kiri akibat kemalangan motosikal awal bulan lalu, ketika mengantar anak ke sekolah.
“Isteri sebelum ini berniaga ikan pekasam tetapi setelah kemalangan dia tidak lagi berniaga dan saya pula tidak dapat melakukan kerja-kerja berat setelah disahkan menghidap tiga penyakit sejak Ogos 2024.
“Sebelum ini saya masih boleh bertani seperti biasa tetapi selepas disahkan mempunyai masalah hati, kesihatan saya mulai merosot sehingga kami kini perlu bergantung pada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600 sebulan,” katanya ketika ditemui pada Program EPIC Back To School 2025 di Jertih dekat sini.
Menurut Mohd. Salmi, agak berat bagi mereka untuk menyiapkan kelengkapan empat anak yang mana tiga daripadanya bersekolah di peringkat menengah dan seorang lagi di sekolah rendah.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Muhtar Suhaili berkata, program itu adalah siri ketiga pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikatnya.
“Bagi sesi ini kita menyantuni 100 murid kurang berkemampuan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi yang mana ia usaha membantu persiapan persekolahan, setiap murid menerima sumbangan baucar bernilai RM200.
“Program EPIC Back to School telah menjadi tradisi tahunan syarikat dalam usaha membantu keluarga yang memerlukan bantuan, selari dengan aspirasi syarikat dalam menyokong pembangunan pendidikan di Terengganu,” katanya. – UTUSAN