JOHOR BAHRU: Lebih 80 peratus daripada pembayar cukai mematuhi jumlah taksiran yang disemak oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (Hasil).
Ketua Pegawai Eksekutif Hasil, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, namun masih terdapat ruang bagi pihaknya meningkatkan tahap kepatuhan pembayaran cukai dalam kalangan rakyat, sama ada melibatkan individu mahupun syarikat.
Menurutnya, jumlah kutipan cukai keseluruhan Hasil pada tahun 2023 adalah RM183.4 bilion.
“Berdasarkan data yang kita terima, kutipan itu lebih tinggi berbanding kutipan tahun terdahulu. Walau bagaimanapun, usaha berterusan akan dibuat bagi memastikan semua pembayar cukai aktif melunaskan tanggungjawab mereka.
“Pematuhan terhadap pembayaran cukai ini merupakan satu proses berterusan dan kita rasa masih ada ruang untuk ditingkatkan, sebab itu kita menjalankan operasi-operasi ini,” katanya selepas melancarkan Op Dagang Peringkat Nasional 2025 di Menara Hasil Johor Bahru, di sini hari ini.
Menurutnya, operasi dijalankan Hasil bukan bertujuan untuk menghukum pembayar cukai yang culas, sebaliknya mendidik dengan harapan tahap kesedaran pematuhan dapat ditingkatkan.
Beliau memberitahu Op Dagang yang dilancarkan itu melibatkan seramai 1,816 pegawai Hasil bagi membuat semakan terhadap 2,495 pembayar cukai yang dikenal pasti berdasarkan risiko percukaian masing-masing.
“Operasi audit ini akan memberi tumpuan dalam lima sektor industri terpilih, iaitu pembinaan, pembuatan, hartanah, pengangkutan dan penyimpanan serta pertanian. Syarikat dipilih melibatkan risiko seperti pendapatan bawah margin industri, syarikat tidak pernah diaudit, yang menuntut insentif serta menjalankan transaksi luar negara,” katanya. – UTUSAN