PORT DICKSON: Lebih 70 peratus daripada keseluruhan 55,269 kanak-kanak yang mengikuti Program Pra Tahfiz Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) berjaya menguasai 10 surah daripada Juzuk 30 (Juzuk Amma) pada tahun lalu.
Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohd. Hanafiah Man berkata, pencapaian itu sesuatu yang membanggakan bagi kanak-kanak seawal usia lima hingga enam tahun untuk menguasai hafazan al-Quran.
“Pencapaian 70 peratus itu selepas anak-anak ini memasuki Program Pra Tahfiz Tabika Kemas yang mana pada awalnya tanpa sebarang asas dapat menguasai 10 surah.
“Bagi tahun 2025 jumlah ini akan bertambah, sehingga 120,000 kanak-kanak apabila Kemas melaksanakan perluasan sebanyak 4,000 kelas tabika pra tahfiz yang melibatkan 60,000 kanak-kanak,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau sebelum itu melawat Tabika Kemas Berkembar Taman Politeknik di sini sempena
hari pertama sesi persekolahan 2025.
Program Pra Tahfiz Tabika Kemas merupakan program untuk memperkasakan pendidikan al-Quran dengan sasaran melahirkan seramai 100,000 kanak-kanak cilik Hafiz yang bermula tahun lalu.
Mohd. Hanafiah berkata, sebagai lanjutan kepada program pra tahfiz, Kemas akan memperkenalkan Program Efikasi Literasi Tahmidi Ulul Albab atau Pelita@Kemas bagi kanak-kanak menguasai lebih 20 surah setelah menamatkan pendidikan di peringkat tabika.
“Mereka akan dibimbing sehingga berusia 12 tahun dan disasarkan menguasai tiga hingga lima juzuk. Mereka yang berjaya menguasai akan diberikan merit (keutamaan) memasuki program Ulul Albab Maktab Rendah Sains Mara (MRSM),” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kemas sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan proses pendaftaran Tabika secara terbuka bermula tahun hadapan bagi memenuhi hadapan ibu bapa menghantar anak-anak mendapatkan pendidikal awal.
“Sekarang kita ambil pendekatan first come first served, tetapi dengan sistem pendaftaran terbuka itu nanti kita hendak lihat sambutan ibu bapa dan langkah susulan yang boleh diambil.
“Kami saban tahun ada reserve list tetapi ramai terpaksa ditolak kerana keadaan kelas yang sudah penuh,” katanya.
Jelas beliau, pada tahun ini seramai 229,325 kanak-kanak mendaftar di Tabika Kemas seluruh negara melibatkan 10,626 buah kelas. – UTUSAN