SEPANG: Lebih 6,000 anggota dan pegawai diserap daripada pelbagai jabatan untuk membentuk fasa awal Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, seramai 12,000 kakitangan dijangka memperkukuhkan agensi itu apabila ia beroperasi secara penuh meliputi 141 pintu masuk negara.
Kata beliau, AKPS tidak menawarkan perjawatan baharu namun menggunakan model penyerapan kakitangan membabitkan beberapa agensi berkaitan.
“Apabila wujud satu agensi baharu, sudah tentu ia akan datang dengan pertama, bajet dan kedua, perjawatan atau logistik. Tapi uniknya ‘set up’ baharu AKPS ini adalah perjawatan itu adalah perjawatan yang diserapkan.
“Secara ideal agensi ini perlu 12,000 petugas apabila beroperasi penuh nanti, dan kini kekuatannya baru sahaja separuh namun ia masih lagi baik,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran AKPS di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.
Mengulas lanjut, beliau bersyukur kerana pelbagai agensi yang berkaitan telah memberikan kerjasama penuh bagi membolehkan petugas mereka diserap masuk ke dalam AKPS.
Katanya, meskipun agensi itu diwartakan Parlimen lebih empat bulan lalu, AKPS tidak perlu mewujudkan sebarang skim perjawatan baharu dan program latihan semula.
Beliau memberikan contoh, 1,090 anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk skop tugasan pentaksiran dan kutipan hasil barangan berduti.
“Pembentukan AKPS juga sebenarnya mengulangi model konsep sama ketika kewujudan awal bagi beberapa agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri sendiri,” katanya.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, konsep penyerapan kakitangan beberapa agensi ke satu agensi keselamatan baharu tidak akan memberi kesan kepada operasi agensi asal.
“Konsep ini bukanlah sesuatu yang baharu. Sebelum ini, model yang sama telah berjaya dilaksanakan dalam penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM). Ini termasuklah semasa penubuhan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang berasal daripada gabungan pelbagai agensi penguatkuasaan maritim,” katanya.-UTUSAN