PETALING JAYA: Lebih 10,000 penduduk sekitar Lot 481446, Bandar Tun Razak memohon pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemaju, tidak meneruskan projek berkepadatan tinggi di kawasan itu kerana boleh membawa kesan negatif kepada masyarakat sekitar.
Pengerusi Persatuan Penduduk Apartment Desa Bangsawan, Shamsul Bahari Omar berkata, sebarang projek yang boleh menjejaskan kawasan hijau itu tidak seharusnya dirosakkan semata-mata meraih keuntungan.
Beberapa bantahan dimulakan sejak 2018 dan surat bantahan dikemukakan kepada banyak pihak sepanjang tempoh 2018 sehingga 2020 termasuk kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur pada 23 September 2024, namun tiada sebarang maklum balas.
“Pembinaan 1,000 unit rumah menyumbang isu kesesakan apabila kenderaan bertambah.
“Penduduk pasti ada kereta lebih dan di mana mereka hendak letak kenderaan sedangkan jalan itu hanya satu lorong,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Perjumpaan itu dihadiri Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Mulia Fasa 1, Mohamad Nazarallah Mohd. Nasir, penasihat persatuan itu, Syed Agil Syed Jaafar dan dua ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk Apartmen Desa Bangsawan, Latifah Mohd Naim serta Rohani Mohamad.
Lima persatuan membantah cadangan projek adalah Persatuan Penduduk Apartmen Desa Bangsawan, Persatuan Penduduk Taman Mulia Fasa 1 dan Fasa 2, Persatuan Penduduk Taman Bandaraya Damai dan Badan Kebajikan Penduduk Jalan Makmur yang menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Bantahan Projek Pembangunan Bangunan Berkepadatan Tinggi. – UTUSAN