PETALING JAYA: Pemaju hartanah terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) mengadakan Majlis Santapan Tengah Hari Tahun Baru Cina 2025 di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur semalam.
Majlis berkenaan diserikan dengan keberangkatan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menjadi tradisi syarikat itu dalam memupuk perpaduan dan kesyukuran, majlis turut dihadiri oleh para kenamaan lain antaranya, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Digital, Gobind Singh Deo; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin dan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Turut hadir, pemegang taruh utama, pemegang saham Kumpulan, rakan perniagaan dan media.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Dato’ Seri Ir. Dr. Lim Hock San dalam ucapan aluannya berkata, hubungan erat yang telah terjalin sejak sekian lama di antara LBS dan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang telah bermula sejak zaman ayahanda Baginda Tuanku.
Selain itu, beliau juga merakamkan penghargaan kepada seluruh warga LBS atas sokongan berterusan dan komitmen dalam memperkasakan syarikat.
“Sumbangan anda amat penting dalam kejayaan yang kita capai bersama. Kami akan terus menyediakan penyelesaian perumahan inovatif sambil mengekalkan nilai teras yang menjadi tunjang kekuatan LBS,” ujarnya.
Selain meraikan kemeriahan musim perayaan, LBS pada majlis itu turut memperkenalkan Strategi 8 x 8 iaitu sebuah inisiatif yang menekankan komitmen Kumpulan untuk melancarkan rangkaian projek dengan jumlah Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sekitar RM8 bilion.
Strategi berkenaan bertujuan mengukuhkan kedudukan LBS sebagai salah satu peneraju utama dalam industri perumahan yang dipacu oleh lapan fokus utama iaitu Perumahan; Industri & Komersial; Pengoptimuman Bank Tanah; Usaha Mencapai Kecemerlangan; Pemerkasaan Pekerja; Pengalaman Pelanggan; Kemajuan Kelestarian dan Kesejahteraan Komuniti.
Strategi 8 x 8 memberi tumpuan kepada meningkatkan kecekapan operasi, memperluaskan jangkauan pasaran, serta mengadaptasi teknologi pembinaan termaju bagi memenuhi keperluan perumahan negara yang semakin berkembang.
Inisiatif ini akan terus memperkukuh kedudukan LBS sebagai peneraju pasaran serta menyediakan kestabilan untuk pertumbuhan mampan dalam tahun-tahun mendatang.
“Hari ini, kita berkumpul untuk meraikan perayaan yang penuh bermakna ini, dengan harapan berterusan untuk masa depan.
“Strategi 8 x 8 merupakan lakaran perancangan LBS dalam merealisasikan aspirasi sebagai peneraju utama dalam industri perumahan, serta mengekalkan komitmen teguh dalam menyediakan penyelesaian perumahan berkualiti tinggi dan mampu milik,” ujar Tan Sri Lim.
Majlis tersebut kemudian diakhiri dengan ucapan penuh harapan untuk kesejahteraan, dipenuhi dengan kemakmuran serta kejayaan untuk semua.
Komitmen LBS terhadap rakyat serta negara kekal teguh, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha berterusan ke arah mencipta masa depan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.-UTUSAN.