PETALING JAYA: Pemaju hartanah terkemuka pilihan rakyat, LBS Bina Group Berhad (LBS) dengan bangganya mengumumkan kejayaan meraih dua anugerah berprestij merangkumi Urus Niaga Terbaik Tahunan Malaysia dan Urus Niaga Kelestarian Terbaik Tahunan dalam Anugerah Urus Niaga Terbaik Islamic Finance News (IFN) 2024.
Pengiktirafan ini diberikan kepada LBS atas kejayaan menerbitkan tranche ASEAN Social SRI Sukuk Wakalah bernilai RM200 juta yang merupakan inisiatif pertama di bawah Program Sukuk Wakalah bernilai RM750 juta.
Program Sukuk Wakalah yang mendapat penarafan ‘AA-IS’ oleh MARC Ratings Berhad (MARC) merupakan pencapaian unggul atas peranannya dalam memacu pembangunan lestari serta memberikan impak sosial yang positif.
LBS mencipta sejarah sebagai pemaju hartanah pertama di Malaysia yang menerbitkan ‘ASEAN Social SRI Sukuk Wakalah, sebuah instrumen kewangan patuh syariah yang diwujudkan untuk membiayai projek berasaskan tanggungjawab sosial.
Selaras dengan Kerangka Pembiayaan Kelestarian (Sustainability Financing Framework) Kumpulan, yang turut memperoleh penilaian “Emas” dalam ‘Impact Bond Assessment’ oleh MARC, di mana pengiktirafan ini mengukuhkan komitmen LBS terhadap pembiayaan lestari dan tanggungjawab sosial, sekali gus memperkukuh dedikasi syarikat dalam melaksanakan projek yang memberi impak positif kepada alam sekitar dan masyarakat.
Anugerah yang menampilkan Program Sukuk Wakalah ini mencerminkan komitmen LBS terhadap kelestarian dan inovasi serta menonjolkan status kepimpinan Kumpulan dalam memajukan prinsip kewangan Islam.
Kerjasama strategik LBS bersama institusi kewangan utama, dengan penerapan inisiatif yang selaras dengan prinsip ESG berpandangan jauh, berupaya mengukuhkan kedudukan LBS sebagai peneraju dalam membawa perubahan positif menerusi penyelesaian kewangan.
Anugerah Urus Niaga Terbaik IFN, kini memasuki tahun ke-19, dianggap sebagai salah satu platform pengiktirafan yang tertinggi dalam industri kewangan Islam antarabangsa, dan mengiktiraf transaksi patuh Syariah yang berinovasi, berpengaruh, dan cemerlang dalam industri.
Tahun ini, anugerah tersebut menerima jumlah penyertaan tertinggi dalam sejarahnya dengan penyertaan dari pasaran seperti Gulf Cooperation Council (GCC), Malaysia, Indonesia dan Turkiye.
Oman mencatat pertumbuhan ketara dalam penyertaan, manakala Arab Saudi merekodkan jumlah penyertaan tertinggi dalam sejarah.
Tan Sri Dato’ Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San, Pengerusi Eksekutif LBS, mengulas mengenai kejayaan itu berkata: “Kami amat berbesar hati dan bangga menerima pengiktirafan berprestij daripada IFN.*
Anugerah itu katanya, mencerminkan usaha dan dedikasi seluruh pasukan LBS serta mengukuhkan pendekatan proaktif Kumpulan dalam aspek kelestarian dan inovasi.
*Dengan memberi tumpuan ke arah mewujudkan impak sosial yang berpanjangan serta menetapkan piawaian tadbir urus tertinggi, penerbitan ASEAN Social SRI Sukuk Wakalah bernilai RM200 juta adalah bukti terhadap komitmen ini.
“Ia bukan sahaja menyokong ekosistem kewangan Islam Malaysia, malah menyediakan penyelesaian perumahan mampan dan mampu milik selaras dengan visi kami untuk memperkayakan kehidupan dan membina komuniti yang lebih kukuh.
“Seiring dengan kedudukan Malaysia sebagai hab pembiayaan Islam, kejayaan LBS di Anugerah IFN ini membuktikan peranan kami sebagai peneraju dalam membentuk dan memajukan sektor ini,” katanya.
Tambah beliau, LBS beriltizam akan terus mengukuhkan amalan pembiayaan yang lestari berlandaskan tanggungjawab sosial di samping memperluas komitmen dalam membiayai projek yang memberi impak positif kepada alam sekitar dan masyarakat serta memastikan nilai transformatif kepada semua pihak berkepentingan. – UTUSAN