Layang-layang dari seluruh dunia di Kuala Perlis

Layang-layang dari seluruh dunia di Kuala Perlis

PESERTA menerbangkan layang-layang pada Fiesta Layang-Layang Antarabangsa Perlis 2025 di Dataran Lok 9, Kuala Perlis, semalam.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Ribuan pengunjung memeriahkan Fiesta Layang-Layang Antarabangsa Perlis 2025 yang julung kali diadakan di negeri ini di Dataran Lok 9, Kuala Perlis di sini, semalam.

Penganjuran fiesta itu juga telah berjaya menghimpunkan seramai 119 peserta dari 42 buah negara antaranya seperti Argentina, Brazil, China, Hong Kong, Ireland, England, Poland, Portugal, Kanada dan banyak lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, penganjuran fiesta tersebut melibatkan persembahan layang-layang moden daripada pelbagai bentuk karakter yang menarik.

Katanya, lokasi Dataran Lok 9 dipilih kerana keluasan kawasan berkenaan memandangkan layang-layang moden mempunyai pelbagai saiz dan agak besar apabila diterbangkan.

“Sambutan diterima amat baik dan saya menganggarkan pada sebelah malam semalam sekitar 4,000 ke 5,000 pengunjung hadir bagi memeriahkan fiesta yang julung kali diadakan di Perlis ini.

“Kita juga dapat melihat kilauan cahaya lampu menarik dari layang-layang pada persembahan di sebelah malam,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian fiesta itu, di sini, semalam.

Majlis perasmian fiesta tersebut disempurnakan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan berangkat sama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Abu Bakar berkata, penganjuran fiesta tersebut dengan kerjasama Majlis Pelayang Malaysia (MPM) serta Persatuan Pemain Layang-Layang Moden dan Tradisi Perlis itu juga dilaksanakan bersempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis.

“Untuk tahun-tahun depan, kita sasarkan sekitar 70 negara akan dijemput bagi penganjuran Festival Layang-Layang Antarabangsa ini dengan skala lebih besar,” katanya.

Kata Abu Bakar, bertitik tolak dari penganjuran fiesta itu, Perlis juga bakal menjadi tuan rumah Festival Layang-Layang Peringkat ASEAN yang dijadualkan pada Mei depan.

“Penganjuran ini juga merupakan sebahagian daripada usaha bagi menyemarakkan sambutan Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025 dengan kehadiran pelancong dari negara luar,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya