LUMUT: Seorang aktivis politik membuat laporan polis mendakwa dua pempengaruh media sosial cuba menghasut dan mencetuskan ketegangan kaum dengan menyalah tafsir satu perkataan dalam bahasa Cina yang membawa maksud ‘Melayu gila’.
Ketua Pemuda MCA Beruas, Ling Jin Shean, 34, membuat laporan polis itu terhadap pempengaruh dikenali sebagai Liyana Marzuki dan Adrian Lim Chee En, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, dekat sini, semalam.
Dalam laporan itu, Jin Shean berkata ketika berada di rumahnya di Kampung Koh, Sitiawan, kelmarin, telah melihat satu kumpulan WhatsApp berkaitan penyebaran kandungan bersifat hasutan dan cubaan memburukkan hubungan kaum.
Katanya, dua pempengaruh itu telah secara sengaja dan tidak bertanggungjawab menyebarkan tafsiran yang salah terhadap perkataan bahasa Cina pada satu hantaran Facebook individu dikenali sebagai Law Yiak Kwang, dengan menterjemahkannya sebagai ‘Melayu Gila’ dalam hantaran media sosial masing-masing.
Beliau berkata, perkataan Cina yang digunakan oleh Yiak Kwang itu digunakan dalam konteks tertentu yang tidak membawa maksud ‘Melayu Gila’.
Oleh itu, beliau menyifatkan hantaran dua pempengaruh itu sebagai manipulasi berniat jahat dan percaya ia dibuat dengan niat menghasut serta boleh mencetuskan ketegangan kaum di negara ini.
Beliau meminta pihak polis menyiasat kes itu jika ada unsur jenayah di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta boleh disiasat mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan.
Katanya, beliau juga akan membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) agar tindakan tegas diambil kerana menyebarkan maklumat palsu yang boleh mengancam keharmonian kaum di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – UTUSAN