PETALING JAYA: Pelaksanaan pengurusan Dana Penyelidikan Fundamental (DPF) oleh lima Universiti Penyelidikan (RU) di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) perlu dipantau bagi memastikan projek dilaksanakan mengikut perancangan dan mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.
Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025, setakat 31 Disember 2023, sebanyak 2,077 projek penyelidikan DPF bernilai RM285.44 juta sedang dilaksanakan oleh lima RU dan dipantau oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.
Daripada jumlah tersebut, tahap kemajuan projek berstatus baik melibatkan 236 projek (11.3 peratus) bernilai RM35.74 juta manakala 571 projek (27.5 peratus) bernilai RM77.97 juta berstatus memuaskan.
Bagaimanapun, 1,119 projek (53.9 peratus) bernilai RM148.04 juta berada pada tahap kurang memuaskan, sementara 151 projek (7.3 peratus) bernilai RM23.69 juta dikategorikan sebagai bermasalah.
“Laporan mendapati, Universiti Sains Malaysia (USM) mencatat tahap kemajuan projek baik tertinggi dengan 206 projek (37 peratus) bernilai RM31 juta.
“Sementara itu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merekodkan tahap kemajuan projek memuaskan tertinggi, iaitu 200 projek (29.8%) bernilai RM25.31 juta, manakala 339 projek (50.5 peratus) bernilai RM52.61 juta berada pada tahap kurang memuaskan.
“Bagaimanapun, UKM juga merekodkan jumlah projek bermasalah tertinggi, dengan 111 projek (16.5 peratus) bernilai RM13.24 juta,” katanya.
Laporan tersebut membuktikan objektif DPF untuk melonjakkan kecemerlangan penyelidikan di Malaysia bagi penjanaan teori, konsep dan idea baharu yang berpotensi diterjemahkan kepada penyelidikan translasional masih belum tercapai.
Berdasarkan maklum balas lima RU diterima pada 18 Disember 2024, antara faktor utama projek penyelidikan DPF bermasalah ialah kelewatan dalam pelaksanaan, tidak mengikut perancangan dan kesukaran mendapatkan pelajar yang berminat menjadi Graduate Research Assistant (GRA).
“Terdapat juga kes di mana GRA yang dilantik tidak dapat memberikan komitmen penuh terhadap projek.
“Selain itu, hasil penyelidikan kurang diterbitkan dalam jurnal terindeks, seperti yang disyaratkan oleh KPT, atau tidak mengikut format yang ditetapkan,” katanya.
Pihak Audit mengesyorkan KPT dan RU meningkatkan pemantauan berkala terhadap prestasi pelaksanaan projek penyelidikan bagi memastikan ia mengikut perancangan dan mencapai KPI yang ditetapkan.
“Selain itu, KPT perlu meneliti permohonan daripada Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) bagi memastikan kebolehlaksanaan projek, sekali gus mengelakkan projek terbengkalai atau ditamatkan.
“Kementerian juga perlu menetapkan dasar yang jelas berkaitan kedudukan baki peruntukan projek penyelidikan yang telah tamat, bagi memastikan baki tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh RU,” katanya.
DPF merupakan dana penyelidikan tertinggi yang disalurkan oleh KPT kepada universiti tempatan, terdiri daripada empat skim geran iaitu Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS), Skim Geran Penyelidikan Transdisiplinari (TRGS), Skim Geran Penyelidikan Pembangunan Prototaip (PRGS) dan Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS).
Tempoh penyelidikan bagi projek DPF bergantung kepada jenis skim geran iaitu antara sembilan bulan hingga lima tahun dengan tempoh lanjutan maksimum enam bulan. – UTUSAN