PETALING JAYA: Tiga universiti awam (UA) antara lima Agensi Persekutuan dilaporkan mengalami kerugian berturut-turut tertinggi sepanjang tiga tahun berturut-turut iaitu antara 2021 hingga 2023.
Tiga UA itu adalah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).
Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025, punca tiga UA terbabit mengalami kerugian terbabit disebabkan geran mengurus dan pendapatan janaan sendiri (yuran pelajar) tidak dapat menampung perbelanjaan operasi universiti.
“UMS mengalami kerugian RM141.41 juta pada 2023, meningkat berbanding RM89.31 juta pada 2021 dan RM89.47 juta pada 2022.
“UPM pula merekodkan kerugian RM127.71 juta pada 2023 berbanding RM81 juta dan RM118.7 juta masing-masing pada 2022 dan 2021, manakala USM mencatatkan kerugian RM61.6 juta pada 2023, RM2.62 juta (2022) dan RM14.21 juta (2021),” katanya hari ini.
Mengulas lanjut, dua lagi agensi yang turut mencatat kerugian sama adalah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
“Punca kerugian PPUM kerana pendapatannya yang terdiri daripada caj rawatan pesakit tidak dapat menampung perbelanjaan operasi dan menyebabkan kerugian RM61.3 juta pada 2023, RM50.94 juta (2022) dan RM33.44 juta (2021).
“Sementara itu, SWCorp merekodkan kerugian RM53.9 juta pada 2023, meningkat berbanding RM87.91 juta pada 2022 dan RM60.75 juta pada 2021, dengan peningkatan perbelanjaan perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam dikenal pasti sebagai punca,” katanya.-UTUSAN