PETALING JAYA: Seramai lapan saksi akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan membabitkan penahanan empat pegawai bekas Perdana Menteri ke-9, minggu lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kesemua saksi tersebut akan dipanggil dalam masa terdekat seawal minggu ini.
“Seramai lapan saksi akan dipanggil bermula minggu ini dan minggu hadapan.
“Selain itu, Bahagian Pencegahan Wang Haram (AMLA) sedang meneliti dokumen-dokumen dirampas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Akta Pencegahan Rasuah 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Ditanya sama ada kemungkinan bekas Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaaakob atau individu kenamaan akan dipanggil untuk dirakam percakapan, beliau enggan mengulas lanjut.
“Siasatan masih berjalan dan setakat hari ini, saya (SPRM) tidak dapat jangka bila siasatan akan dapat dilengkapkan,” katanya.
Selasa lalu, tiga pegawai yang mempunyai kaitan dengan Ismail Sabri dibebaskan dengan jaminan manakala seorang lagi pada 23 Februari lalu.
Kelmarin, dua bergelar Datuk adalah di antara empat bekas pegawai kanan Ismail Sabri untuk membantu siasatan lanjut terhadap beberapa kes yang dikaitkan dengan rasuah serta pengubahan wang haram.
Selain itu, seorang pegawai eksekutif sebuah yayasan dan seorang wanita yang juga pembantu kepada seorang pegawai khas terbabit turut ditahan oleh agensi antirasuah itu.
Penahanan itu dilakukan SPRM mengikut Seksyen 16a Akta SPRM dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Turut difahamkan, beberapa kes sedang disiasat oleh SPRM ketika ini dan antaranya membabitkan perbelanjaan dana kerajaan berjumlah RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti.- UTUSAN