LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menerima lapan aduan berkaitan vesel atau bot nelayan tempatan yang ditahan penguat kuasa Indonesia bagi tempoh Januari 2023 hingga bulan lalu.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kapten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, selepas aduan diterima, pihaknya akan menggerakkan aset ke lokasi yang dilaporkan berlaku penahanan dan sekiranya sempat, Maritim Malaysia akan mengadakan rundingan bersama pasukan penguat kuasa Indonesia.
Menurutnya, jika bot nelayan tempatan ditahan di perairan Malaysia, pihaknya akan memohon kepada penguat kuasa Indonesia melepaskan nelayan tempatan tetapi jika bot tersebut sah ditahan di perairan Indonesia, pihaknya membenarkan penahan tersebut kerana itu undang-undang yang terpakai di negara Indonesia.
“Pada tahun 2024, ada enam kes libatkan penahanan pihak berkuasa Indonesia melibatkan bot berasal dari Hutan Melintang.
“Nelayan hendaklah mematuhi peraturan yang ditetapkan sebab supaya tidak menarik perhatian penguat kuasa asing untuk melihat atau menangkap mereka.
“Kadang kala nelayan kita memasuki perairan negara asing dan membuat tangkapan dan ini mengundang kemarahan di pihak Indonesia yang menyebabkan mereka ditangkap,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Mengenai dakwaan nelayan laut dalam di Hutan Melintang berdepan ancaman kumpulan yang dikatakan lanun, Mohamad Shukri berkata, perkataan lanun tidak tepat untuk digunakan dalam kes tersebut kerana ia adalah aktiviti jenayah yang dilakukan kumpulan perompak.
Katanya, perkataan lanun merujuk kepada rompakan yang berlaku di laut lepas tapi apa yang berlaku ialah kes jenayah di perairan Hutan Melintang seperti yang didakwa oleh nelayan.
Jelasnya, dakwaan oleh nelayan di Hutan Melintang itu dikategorikan kes rompakan di laut sahaja dan mungkin kenyataan nelayan mengenai penggunaan perkataan lanun itu tidak tepat.
“Berdasarkan maklumat, kami tidak terima langsung aduan berkaitan peras ugut atau kegiatan sebegini. Sebaliknya kami terima aduan mengenai gangguan penguat kuasa asing kepada nelayan tempatan.
“Kami tidak terima sebarang laporan berkaitan kes ancaman atau aduan berunsur jenayah yang kami terima secara rasmi daripada nelayan,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan pengalaman pihaknya mengendalikan kes berkaitan gangguan penguat kuasa asing, ia berlaku mengikut kes.
Kata beliau, ada ketikanya kapal penguat kuasa asing masuk ke perairan Malaysia dan itu tidak dinafikan namun ada ketikanya bot nelayan tempatan yang masuk ke perairan Indonesia dan ditahan oleh penguat kuasa negara tersebut.
“Tidak semestinya semua kes melibatkan penguat kuasa Indonesia masuk ke perairan Malaysia. Ada ketikanya mungkin nelayan Malaysia dahulu yang memasuki perairan Indonesia,” katanya. –UTUSAN