PONTIAN: UMNO Bahagian Pontian mencadangkan Pengerusi Veteran di setiap 191 bahagian UMNO seluruh negara dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO di bahagian masing-masing, sebagai tanda penghargaan atas sokongan atas pengorbanan mereka kepada parti.
Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata cadangan ini timbul selepas perlantikan Datuk Othman Desa, Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO baru-baru ini.
Ahmad Maslan berkata, sokongan dan kesetiaan ahli Veteran UMNO yang telah membantu memacu gerak kerja parti, termasuk sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK), perlu dihargai dan diiktiraf dalam struktur kepimpinan UMNO.
“Perlantikan ini bukan sahaja untuk menghargai pengorbanan mereka, tetapi untuk memastikan mereka terus menyumbang secara aktif dalam pembangunan parti,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa UMNO Bahagian Pontian di Dewan Serbaguna MPPn, Benut.
Tegasnya, kesetiaan veteran UMNO sangat jelas apabila mereka tidak pernah goyah dalam memberi sokongan kepada kepimpinan sekarang dan berharap dengan cadangan berkenaan, penglibatan mereka dalam setiap bahagian UMNO dapat lebih diperkasakan dan lebih banyak agenda dapat disusun bersama.
Menerusi kenyataan media MKT UMNO yang bermesyuarat malam Jumaat lalu, Pengerusi Veteran UMNO Malaysia Datuk Othman Desa dilantik sebagai ahli MKT dan diumumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki selepas mesyuarat MKT yang berlangsung di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn.
Ahmad yang juga ahli MKT UMNO menyatakan bahawa pelantikan ini akan memperkukuhkan lagi penyampaian maklumat kepada ahli-ahli Veteran UMNO di seluruh negara.
“Mereka (Veteran UMNO) juga mempunyai organisasi yang lengkap dari Bahagian, Negeri dan Pusat, sekaligus memudahkan mereka menyusun agenda bagi membantu parti sepanjang masa,” katanya.
Malah Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor akan menulis surat kepada MKT agar cadangan berkenaan mendapat perhatian dari Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid untuk dibawa kepada Mesyuarat MKTi. – UTUSAN