KUALA LUMPUR: Syarikat LXM Resources telah memfailkan tindakan saman terhadap syarikat milik pempengaruh terkenal Mohd. Azwan Md. Nor, WD Food Group Sdn Bhd susulan tindakan syarikat itu yang melanggar perjanjian empat tahun yang dimeterai kedua syarikat itu sejak Disember 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif LXM Resources yang juga anak kepada pelakon dan produser Sheila Rusly, Uzair Haqimy Azman memaklumkan saman tersebut yang difailkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 28 Januari tahun ini, diambil selepas syarikat terbabit gagal melunaskan bayaran penuh termasuk panelti bagi perjanjian itu yang berjumlah RM808,260.
”Syarikat tersebut telah melanggar dua perjanjian yang telah dipersetujui pada 22 Disember 2023 dan 21 Jun 2024. Tempoh kedua-dua perjanjian itu adalah 48 bulan.
”Selepas WD Food melunaskan bayaran sebanyak RM24,930, mereka bertindak berdiam diri apabila pihak kami menuntut pula bayaran penuh termasuk penalti sebanyak RM808, 260.
”Kali terakhir kedua pihak berhubung mengenai tuntutan ini adalah sekitar September tahun lepas. Namun LXM Resources memutuskan untuk menghantar notis tuntutan (23 Disember 2024) apabila pihak mereka tidak memberikan kerjasama dan terus membisu.
”Disebabkan itu, pihak kami akhirnya memutuskan untuk teruskan dengan tindakan saman,” katanya yang ditemui pada sidang media yang diadakan di pejabat LXM Resources dekat Danau Kota, Kuala Lumpur di sini petang tadi.
Turut hadir adalah peguam lantikan syarikat tersebut, Ismail Mohamed Arifin, Ketua Pengarahnya yang juga pelakon, Elisha Sandha dan Pengurus Operasinya, Wan Ahmad Adli.
Perjanjian yang dimeterai antara lain termasuk perkhidmatan logistik disediakan LXM Resources membabitkan penggunaan empat buah lori dan sebuah van.
Uzair dalam pada itu meluahkan rasa kecewa apabila komitmen mereka terhadap kerjasama yang dibuat itu diperkotak katikkan pihak WD Food Group Sdn. Bhd.
”Saya kecewa kerana kami telah berikan 110 peratus komitmen terhadap kerjasama ini. Saya sudah lima tahun mengenali Wak Doyok, namun hanya berpeluang bekerjasama dengan dia sejak dua tahun lepas.
”Disebabkan pelanggaran ini syarikat kami menanggung kerugian namun keadaan itu berjaya distabilkan.
”Apa pun saya serahkan peguam yang dilantik untuk meneruskan dengan tindakan selanjutnya,” kongsinya. – UTUSAN