PETALING JAYA: Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) memaklumkan bahawa saman fitnah yang difailkan oleh LLSB terhadap Badrul Hisham Bin Shaharin (juga dikenali sebagai
“CheguBard”) di Mahkamah Sesyen Shah Alam telah diselesaikan secara baik.
Saman fitnah tersebut difailkan oleh LLSB pada 8 Ogos 2023 susulan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh CheguBard dalam beberapa penerbitan dan hantaran di platform media sosial beliau serta platform atas talian lain, yang mana LLSB mendakwa adalah palsu dan berunsur fitnah sehingga menjejaskan reputasi dan kedudukan syarikat.
“Kami berbesar hati untuk mengumumkan bahawa berdasarkan cadangan penyelesaian luar mahkamah oleh CheguBard, pihak-pihak dalam saman tersebut telah mencapai penyelesaian secara baik.
“Sebagai sebahagian daripada penyelesaian, CheguBard telah membuat permohonan maaf secara terbuka di hadapan hakim yang mengendalikan kes, mengakui bahawa tuduhan tersebut tidak berasas dan menyatakan kekesalan terhadap kesan kenyataan serta tuduhan fitnah beliau yang telah menjejaskan reputasi serta menyebabkan tekanan dan kerugian kepada LLSB.
“Beliau mengambil tanggungjawab penuh atas perkara ini,” jelas LLSB dalam satu kenyataan.
CheguBard juga telah menarik balik semua kenyataan yang telah dibuat dan diterbitkan di platform media sosial beliau serta platform atas talian lain secara keseluruhan dan mengesahkan bahawa kenyataan tersebut dibuat tanpa niat jahat dan berdasarkan maklumat yang salah serta tidak lengkap.
CheguBard turut memberi jaminan bahawa beliau akan mengelak daripada membuat sebarang kenyataan dan penerbitan palsu atau berunsur fitnah pada masa akan datang berkaitan perkara ini terhadap LLSB dan Projek Selangor Maritime Gateway.
“Permohonan maaf ini dibuat tanpa sebarang syarat sebagai pengakuan tanggungjawab beliau serta komitmen untuk membetulkan kesilapan yang telah dilakukan.
‘LLSB menyambut baik penyelesaian ini dan menganggapnya sebagai hasil yang positif serta mencerminkan dedikasi terhadap ketelusan dan akauntabiliti dalam semua operasi syarikat,” demikian menurut kenyataan itu. – UTUSAN