Lama sakit, Pak Lan pergi pada hari baik

Lama sakit, Pak Lan pergi pada hari baik

ANAK perempuan Allahyarham Roslan Salleh menyiram air ke atas kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Pemergian pelakon veteran, Roslan Salleh, 69, atau lebih dikenali sebagai Pak Lan merupakan kehilangan besar buat industri seni tanah air.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya dalam tidur di kediamannya di Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah di sini kira-kira pukul 7 pagi semalam ternyata meninggalkan kesan mendalam dalam kalangan rakan artis.

Pelakon veteran, Maimunah Ahmad atau lebih dikenali sebagai Mak Jah berkata, dia amat terkejut apabila dimaklumkan mengenai pemergian rakan seperjuangannya dalam
bidang seni sejak 40 tahun lalu.

“Dia baru kahwin setahun, Mak Jah sudah mengenalinya. Ketika arwah masih menjadi guru tetapi sudah mula terlibat dalam bidang lakonan serta berkawan dengannya hingga akhir hayat.

“Tidak tahu hendak cakap apa bila tahu Roslan meninggal dunia. Dia saya anggap sebagai adik bila penggambaran drama kita berlakon bersama, banyak perkara yang kami bincangkan.

“Mengenalinya memang dia seorang yang sangat ramah dan baik. Terlalu lama dia sakit, dia menghembuskan nafas terakhir pada hari yang baik, dan cuaca yang baik,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rantau Panjang, semalam.

Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Kampung Rantau Panjang apabila anak dan saudara mara menatap wajah Allahyarham buat kali terakhir sebelum dikebumikan kira-kira pukul 3.15 petang.

Lebih 200 orang hadir memberi penghormatan terakhir termasuk rakan seperjuangan Roslan dan penduduk setempat.

Jenazah dibawa ke Masjid Ar Rahman dari rumahnya kira-kira pukul 11.00 pagi untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan selepas umat Islam menunaikan solat Jumaat.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, tiga cahaya mata dan 10 cucu.

Roslan pernah membintangi banyak drama dan filem popular antaranya Sembilu 2, Gerak Khas The Movie 2, Munafik 2, Anak Perjanjian Syaitan dan Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya